Politik penafian. Inilah pandangan parti pembangkang DAP berhubung bantahan pemimpin Barisan Nasional (BN) terhadap kenyataan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang mendakwa orang Cina di Malaysia dipinggirkan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membidas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik serta Timbalannya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon kerana menafikan 'fakta yang begitu ketara'.

"... Masyarakat Cina dan bukan Cina dipinggirkan secara sistematik melalui dasar-dasar diskriminasi kerajaan yang hanya menguntungkan golongan kaya dan ada kaitan politik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Politik penafian seumpama itu adalah tidak jujur kerana pemimpin BN sendiri telah menyatakan bahawa dasar-dasar diskriminasi seperti sistem kuota dan Dasar Ekonomi Baru (NEB) adalah penting untuk keharmonian kaum dan kestabilan negara," tambahnya.

Katanya, selagi pemimpin BN, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak boleh menerima alasan, fakta dan logik untuk menolak dakwaan Lee itu, maka 'penafian emosi mereka adalah umpama tin-tin kosong yang mengeluarkan bunyi yang paling bising untuk menutup politik dominan dan diskriminasi Umno."

Tidak logik

Lim juga membidas Dr Koh kerana menyatakan bahawa menteri mentor itu tidak faham mengenai cabaran dalam mentadbir sebuah negara yang besar, lebih komplikated dan lebih majmuk daripada Singapura.

"Kalau begitu, bolehkah kita menyokong dasar apartheid di Afrika Selatan pada 1980-an hanya kerana Afrika Selatan lebih besar, lebih majmuk dan lebih komplikated daripada Malaysia?

"Bagaimana Dr Koh (yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang) begitu tebal kulit untuk mengatakan orang Cina bukan pak turut, sedangkan beliau sendiri tidak berani menjawab kritikan Pemuda Umno Pulau Pinang yang menghinanya melalui demonstrasi dan poster?" Soalnya.

Lim turut membidas kenyataan Presiden MCA bahawa adalah adil dan subjektif untuk mengatakan kaum Cina di Malaysia dipinggirkan kerana apa juga ketidakadilan akan ditangani oleh MCA.

"Kalau betul, mengapa dalam Kabinet, empat orang menteri MCA tidak mampu meyakinkan (Kabinet) tetapi tunduk kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein?" soalnya lagi.

Beliau merujuk kepada kenyataan Hishammuddin yang secara terbuka mengecam Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, yang juga Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat kerana mendedahkan bahawa pegawai Kementerian Pelajaran telah menyalahgunakan dana untuk membaiki sekolah jenis kebangsaan.

Tee Keat juga telah ditegur oleh Kabinet kerana membuat kenyataannya itu.

"(Lebih) buruk lagi, Ong tidak pula menjelaskan mengapa dia menyokong Pelan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) yang tidak memperuntukkan pembinaan sebuah pun sekolah Cina dan Tamil daripada 180 sekolah rendah baru yang dicadangkan," tambahnya.

'Kepentingan diri'

Mengenai kenyataan Keng Yaik bahawa "orang Cina di sini tidak akan ikut dan dengar apa yang beliau katakan", Lim menegaskan, ia mencerminkan betapa pemimpin BN sudah hilang sentuhan terhadap perasaan rakyat biasa di Malaysia.

Dalam satu sidang akhbar semalam, Keng Yaik yang juga Presiden Gerakan, menggesa wartawan supaya melaporkan bahawa apa yang dikatakan oleh Lee itu adalah "amat salah sekali".

Sementara itu, Lim menyifatkan sikap "penafian palsu" oleh pemimpin Cina dalam BN sebagai "bermotifkan politik dan berkepentingan diri sendiri" supaya mereka terus kekal dalam jawatan kerajaan.

Jumaat lalu, di luar mesyuarat Bank Dunia-Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Singapura, Lee dipetik oleh agensi media asing sebagai berkata sikap Malaysia dan Indonesia terhadap Singapura dibentuk oleh cara layanan mereka terhadap etnik Cina minoriti di negara mereka sendiri.

Lee mendakwa Malaysia dan Indonesia mempunyai masalah dengan kaum Cina di negara masing-masing kerana etnik itu berjaya serta bekerja kuat, justeru mereka dipinggirkan secara sistematik.

"Malah, ada kebenarnya dalam separuh daripada kenyataan Lee bahawa bukan sahaja kaum Cina dipinggirkan. Kaum India dan orang Melayu yang miskin juga turut dipinggirkan," kata Setiausaha Agung DAP itu. Berita asal