Rancangan mewujudkan pakatan antara Proton dengan PSA Peugeot-Citroen dari Perancis mungkin dapat membantu 'menyelamatkan' syarikat kereta nasional daripada terus mengalamai kerugian, tetapi para penganalisa berpendapat, soal penguasaan ekuiti masih merupakan satu isu sensitif.

Baru-baru ini, dua syarikat pembuat kenderaan itu telah menandatangani persetujuan untuk menilai dan mengkaji kemungkinan mengadakan kerjasama dan pusingan pertama perbincangan bermula minggu depan.

PSA Peugeot merupakan syarikat pembuat kereta kedua terbesar di Eropah dengan menguasai 14.5 peratus pasaran pada 2005.

Kajian selama tiga bulan itu, menurut Proton, akan menumpukan kepada aspek pembangunan produk, pengedaran, kontrak pemasangan, pembangunan vendor dan meningkatkan kualiti.

Presiden Persatuan Automatif Malaysia (MAA), Aishah Ahmad memberitahu AFP bahawa perkongsian itu akan lebih menguntungkan Proton, yang mengalami kemorosotan penguasaan pasaran sejak kebelakangan ini.

"Ia akan dapat membantu meningkatkan jualan kereta Proton dan secara tidak langsung membantu industri automobil negara," katanya.

Para penganalisa berpendapat, kejatuhan jualan Proton disebabkan pengurangan duti import dan persepsi mutu yang rendah dan model yang kurang menarik.

Penguasaan pasaran merosot

Menurut Aishah lagi, kepakaran teknologi melalui pakatan tersebut akan mendorongkan vendor Proton untuk menghasilkan komponen yang berkualiti dan menjadikan Malaysia sebagai hub alat ganti kenderaan.

"Industri ini, pada keseluruhannya, akan meningkatkan dengan adanya teknologi kelas dunia dari Peugeot. Ia juga akan menambah peluang pekerjaan," katanya.

Menurut MAA, jualan kenderaan jatuh sebanyak 6.4 peratus pada Ogos kemerosotan bagi bulan ketujuh ekoran nilai rendah bagi jualan semula kenderaan bermotor dan peningkatkan kadar faedah.

Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembuat kenderaan Malaysia perlu bergabung tenaga dengan rakan kongsi asing untuk meningkatkan pasaran eksport.

Katanya, langkah menggubal dasar bagi melindungi pasaran tempatan secara berterusan bukanlah satu strategi yang berdaya maju bagi tempoh jangka panjang.

Penyelesaiannya, kata beliau, ialah dengan mendapatkan rakan kongsi asing yang teguh, yang mampu membuka pintu kepada kereta Malaysia untuk memasuki pasaran ekport yang lebih luas.

Komen Najib itu jelas merujuk kepada masalah yang dihadapi oleh Proton untuk mendapatkan rakan kongsi asing.

Sebelum ini, Proton berunding dengan syarikat Volkswagen dari Jerman tetapi menemui kegagalan apabila Proton tidak bersetuju untuk menyerahkan penguasaan eikuiti kepada Volkswagen.

Penolong Naib Presiden kanan dan ahli ekonomi Bank Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) Bhd, Hardeep Singh, berkata demi kebaikan Proton sendiri, syarikat tersebut perlu segera menjadi rakan kongsi asing.

"Ianya amat penting demi survivalnya sendiri. Jika tidak ia akan 'ditelan' oleh pertumbuhan dan persaingan hebat pasaran," katanya kepada AFP.

Hardeep berkata, kunci kepada survival Proton ialah dengan mengeluarkan kereta pada kadar kos yang rendah, dengan kepakaran teknikal menghasilkan model yang baik, serta mempunyai akses kepada teknologi canggih.

Satu pakatan dengan syarikat pengeluar kereta global akan membantu meningkatkan eksportnya dan menangani kemorosotan jualannya dalan pasasan tempatan, katanya.

Tingkatkan imej

Hardeep berkata, perkongsian dengan syarikat kereta asing juga akan dapat meningkatkan imej Proton.

Katanya, kereta keluaran Proton tidak menjadi pilihan pembeli, termasuk di kalangan rakyat Malaysia sendiri dan orang membelinya semata-mata kerana harganya yang murah.

Bagaimanapun, Hardeep berkata, Proton mesti bersedia berkongsi penguasaan syarikat itu dengan Peugeot dan sebagai pertukarannya, syarikat kereta Perancis itu menyediakan kepakaran teknikal.

Sementara itu, seorang penganalisa tempatan berkata, rundingan kali inipun mungkin berakhir dengan kegagalan sekiranya Peugeot bertegas mahu menguasai ekuiti dalam Proton.

"Isu penguasaan (ekuiti) ini mungkin menjejaskan sebarang rancangan antara dua syarikat pembuat kereta itu untuk bekerjasama. Lambat laun, Proton akan terpaksa berdepan juga dengan soal ini," katanya kepada AFP.

Pusingan pertama rundingan akan bermula minggu depan tetapi ia tidak akan menyentuh soal perkongsian ekuiti, kata Pengarah Urusan Proton, Syed Zainal Abidin kepada pemberita Jumaat lalu.

"Kita akan berbincang mengenainya pada masa yang sesuai. Kita sudah bersedia untuk berbincang," katanya.