mk-logo
Berita
Remaja tuntut mohon maaf atas komen lucah, dakwa ada komen oleh guru
Diterbitkan:  Apr 28, 2021 6:56 PM
Dikemaskini: 1:13 PM

Remaja Ain Husniza Saiful Nizam telah menuntut permintaan maaf daripada mereka yang meninggalkan komen lucah di media sosial mengenai penampilan dan rupa parasnya berkaitan wawancara dengan Malaysiakini semalam.

Remaja itu yang baru-baru ini membuat laporan polis terhadap gurunya kerana didakwa membuat jenaka tentang rogol, menyiarkan video di Tiktok dan Twitter menuntut permohonan maaf.

Komen lucah termasuk yang mengulas mengenai bentuk badannya dan bagaimana gambarnya berbaju lengan panjang menjadi "cabaran untuk lelaki yang puasa semasa Ramadan."

Ada juga yang mengutuknya kerana tidak menutup aurat dan berkata pakaiannya menjadi sebab dia menjadi subjek gangguan seksual.

Malaysiakini telah membuang komen-komen yang bersifat lucah dan menyekat akaun media sosial yang tidak mempunyai maklumat lengkap untuk membuat komen di laman Facebook berita portal.

Portal berita ini telah menemuramah Ain dan ayahnya, yang kedua-duanya bersetuju untuk foto Ain diterbitkan bersama wawancara.

"Jika anda benar-benar mahu membuat perubahan, mula bercakap apabila anda melihat jenis ini, tingkah laku oleh orang dewasa.

"Kita mesti memberitahu mereka bahawa sudah tiba masanya bagi mereka untuk mengambil akauntabiliti untuk tindakan mereka.

"Mula bercakap. #MakeSchoolasaferPlace," ciap remaja berusia 17 tahun itu di Twitter.

"Jangan biarkan perjuangan saya sia-sia, saya sanggup menghadapi semua ini jika ia bermakna tiada pelajar yang perlu melalui atau merasakan apa yang saya rasa sekarang, untuk generasi akan datang," tambahnya.

'Bawa malu bidang perguruan'

Beberapa komen lucah datang daripada akaun Facebook, yang pemiliknya didakwa sebagai guru sekolah.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas jika benar guru antara orang-orang yang telah membuat komen-komen tersebut.

Mengulas lanjut, ayah Ain Saiful Nizam Ab Wahab berkata komen yang dikatakan oleh guru itu membawa rasa malu terhadap bidang perguruan.

"Dari isu lawak rogol, kemudian ugutan rogol oleh pelajar seterusnya kini body shaming (hina rupa paras) dan buli siber. Jika inilah mentaliti kebanyakan guru yang ada, memang tak hairanlah anak-anak kita juga makin hancur akhlaknya.

"Saya amat kasihan dengan profesi perguruan yang semakin tercemar oleh individu-individu sampah seperti mereka ini.

"Dah la nak hadap cabaran mengajar yang semakin menggunung," katanya.

Saiful Nizam berkata guru-guru sudah menghadapi banyak cabaran dalam pengajaran hari ini, dan tidak perlu dicemarkan oleh komen-komen lucah yang ditinggalkan oleh rakan-rakan mereka.

"Dari jenaka rogol (oleh seorang guru) kepada ancaman rogol oleh seorang pelajar, dan sekarang dihina rupa paras dan buli siber oleh guru?"

Bapa remaja itu juga berkata komen lucah sebegitu menunjukkan "betapa 'sakit'nya masyarakat."

"Wahai lelaki. Berhentilah berfikir guna zakar," kata Saiful.

KDN panggil Malaysiakini

Ain menjadi tumpuan apabila membuat video Tiktok menyiarkan mengenai jenaka rogol yang dikatakan oleh gurunya dan kemudian tular di media sosial.

Sejak itu, dia telah membuat laporan polis terhadap guru dan seorang rakan sekelas yang mengancam untuk merogolnya, sebagai tindak balas terhadap aduannya terhadap guru.

Polis berkata sedang menyiasat kedua-dua perkara secara serius, sementara bapa Ain berkata pelajar yang membuat ancaman rogol itu telah meminta maaf.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan pihaknya akan memanggil Malaysiakini dan China Press berhubung artikel kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani mengenai ugutan rogol terhadap seorang remaja.

Berdasarkan video rakaman sidang media di Facebook, Malaysiakini menerbitkan artikel dengan tajuk: "Deputy IGP describes rape threat against teen as 'maybe a joke' (Timbalan IGP sifatkan ugutan rogol 'mungkin gurauan rakan sedarjah).

Sementara itu, China Press menerbitkan sebuah artikel dalam bahasa Cina bertajuk: "Pelajar perempuan diancam rogol, Acryl Sani: Rakan sekelas mungkin bergurau.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, laporan itu tidak tepat.

Ketika ditanya mengenai kes Ain kelmarin, Acryl memberitahu sidang media di Shah Alam seperti berikut:

"Pelajar berkenaan (Ain) telah membuat dua laporan polis, pertama beliau membuat berkaitan dengan apa yang beliau rasakan pendekatan guru tersebut tidak begitu proper (wajar).

"Beliau membuat laporan tambahan berkaitan dengan mungkin gurauan daripada rakan sedarjahnya yang beliau mungkin tidak dapat terima," katanya.

Acryl juga berkata polis telah membuka kertas siasatan dan mengambil keterangan daripada guru Ain dan rakan sekelasnya.

Bukit Aman, sebagai respons terhadap artikel Malaysiakini, mengemukakan transkrip yang menunjukkan kenyataan "mungkin gurauan" itu memang diucapkan Acryl.

Pun begitu dalam kenyataan itu dijelaskan bahawa 'mungkin gurauan' itu merupakan aspek yang sedang disiasat dan tidak bermaksud bahawa isu yang dilaporkan kepada polis itu sekadar gurauan.

Semalam, Bukit Aman juga mengatakan bahawa artikel tersebut memberikan gambaran bahawa Acryl mengatakan ugutan itu "itu hanya gurauan".

Malaysiakini tidak menulis ayat seumpama itu.

[Baca berita asal]


 

Lihat Komen
ADS