Sekumpulan orang kurang upaya (OKU) berancang untuk mengadakan bantahan bagi menuntut kerajaan menyediakan pengangkutan awam yang mesra OKU pagi semalam.

Ketika anggota Pertubuhan Persekitaran Bebas Halangan dan Akses Pengangkutan (Beat) yang berkerusi roda sedang berkumpul di stesen LRT Bangsar untuk mengada bantahan tersebut, Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, Chew Mei Fun muncul menemui mereka.

Mei Fun yang kebetulan sedang mengikuti ujian perjalanan Putra line, berhenti di stesen tersebut lalu menjemput mereka menggunakan kemudahan di LRT, diikuti dengan makan tengahari di stesen KL Sentral.

Selepas mendengar aduan mereka, beliau berkata Rapid KL sebuah syarikat milik kerajaan yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam d Lembah Klang, akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti keperluan masyarakat Orang Kurang Upaya (OKU).

"Pihak kementerian akan bersama anda semua kerana ia adalah tanggungjawab kami," katanya disambut tepukan gemuruh anggota kumpulan tersebut.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau berkata, tuntutan kumpulan tersebut adalah relevan kerana mereka sebenarnya menuntut hak mereka.

Beliau turut ditanya sama ada rancangan pembangunan negara tidak mengambil kira keperluan masyarakat minoriti seperti orang kurang upaya, walaupun kerajaan telah melancarkan kempen 'Masyarakat Penyayang'.

Beliau mengakui kemungkinan ada isu-isu yang mungkin "telah terlepas pandang", namun katanya, setiap individu perlu memainkan peranan dengan membuat aduan kepada agensi-agensi berkenaan.

Tuntutan Beat

Beat mengemukakan beberapa tuntutan:

Rapid KL hendaklah memastikan kesemua 1,256 pondok bas mesra OKU, warga emas, wanita mengandung, kanak-kanak dalam kereta tolak dan anggota keluarga mereka..

Kerajaan hendaklah mengguna dan melaksanakan standard akses dalam merancangan kemudahan awam dan sistem pengangkutan awam.

Kerajaan hendaklah mengguna dan melaksanakan dasar tiada diskriminasi dan melindungi hak dan maruah orang kurang upaya di negara ini.

Kerajaan hendaklah mendapatkan pandangan dan membabitkan orang kurang upaya dalam dasar pembangunan.

Sementara itu, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Rapid KL, Katherine Chew yang turut bersama Mei Fun, memberitahu pemberita bahawa tempahan telah dibuat untuk membeli 100 bas dari China, yang mesra OKU.

Ketika ditanya mengenai tuntutan Beat berhubung kemudahan untuk wanita mengandung serta anak-anak yang menggunakan kereta tolak, Katherine berkata: "Pada masa ini, tidak ada sebarang masalah."

Seorang anggota Beat, V Murugesaran berkata, kerajaan berjanji untuk membelanjakan RM10 bilion untuk menaiktaraf pengangkutan awam dalam bajet 2007, tetapi tiada tanda-tanda perkhidmatan itu mesra OKU.

Katanya, kekurangan komitmen ke arah itu adalah tidak baik memandangkan Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Sukan Asia Jauah dan Pasifik Selatan (Fespic) tahun ini.

"Nanti apakah tanggapan yang hendak kita berikan apabila kita menjadi tuan rumah kepada sukan berkelas dunia (tetapi kurang kemudahan dan tidak mesra OKU)?" soal Muragesaran, yang juga pengerusi Persatuan Orang Kurang Upaya Damai, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Sukan Fespic akan mengumpulkan atlit daripada 43 negara untuk mengambil bahagian dalam 19 acara sukan.

Menurut laporan, kerajaan akan membelanjakan RM25 juta untuk penganjuran sukan tersebut. Berita asal