Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Redzuan: Pegawai penguat kuasa jangan terburu-buru keluarkan kompaun

Pegawai penguat kuasa perlu memahami keadaan semasa dan tidak terburu-buru mengeluarkan sebarang kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata tindakan mengenakan kompaun bagi kesalahan di bawah undang-undang adalah untuk mendidik pelaku agar sama-sama bertanggungjawab memerangi pandemik Covid-19.

“Kami (kerajaan) tidak mahu bebankan rakyat. Malah tindakan mengenakan kompaun bukanlah bertujuan menjejaskan kehidupan sebaliknya mahu memastikan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tinggi, nyawa selamat dan pelaku dapat muhasabah diri.

“Akta ini telah tentukan jumlah kompaun tetapi ada budi bicara untuk rayuan dan kurangkan kompaun,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian seminar ‘Cabaran Covid-19 Menurut Perspektif Islam’ dan pelancaran buku Fakulti Pengajian Islam (FPI) 2020/202, terbitan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara maya hari ini.

Redzuan berkata tindakan segelintir rakyat yang masih berdegil tidak mematuhi SOP menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes baharu Covid-19 kebelakangan ini.

Terdahulu ketika ucapan, Redzuan berkata kerajaan sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pakar dalam pelbagai bidang khususnya pengajian Islam bagi merungkai persoalan dalam isu berkaitan Covid-19.

“Nasihat serta cadangan daripada ahli akademik yang berasaskan kajian adalah diperlukan seiring dengan langkah penguatkuasaan yang diambil kerajaan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS