Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong sepenuhnya tuntutan bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohammed Salleh Abas dan Majlis Peguam Malaysia supaya ditubuhkan sebuah suruhanjaya bebas untuk menyiasat punca krisis kehakiman pada 1988.

Katanya, langkah mengadakan satu semakan yang bebas dan jujur adalah sangat penting dalam menebus maruah dan reputasi mereka yang manjadi mangsa sejak krisis kehakiman pada 1988.

Beliau yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata ia juga penting untuk memulihkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap sistem kehakiman negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar berkata, dalang di sebalik kejadian tersebut mesti bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka itu.

Tambahan pula, katanya, satu semakan yang saksama akan membawa kepada satu pembaharuan yang substantif dalam proses pemilihan hakim demi melindungi kemuliaan bidang kehakiman daripada sebarang exploitasi pada masa depan.

Menurutnya, bidang kehakiman yang bebas dan saksama merupakan satu asas penting dalam negara demokrasi dan moden, dengan menyediakan sekatan dan imbangan terhadap eksekutif dan menyekat kerajaan daripada mengamalkan pemerintahan diktator.

Integriti bidang kehakiman

Anwar juga menyifatkan keengganan pihak kerajaan untuk menyemak semula krisis kehakiman 1988 sebagai mencerminkan komitmen tidak bersungguh-sungguh terhadap integriti dan pembaharuan.

Katanya, kini sudah tiba masanya bagi kerajaan untuk menunjukkan kepimpinannya yang sebenarnya.

Sehubungan itu, Anwar turut memuji keberanian yang ditunjukkan oleh beberapa hakim sebagai pembawa sinar harapan dalam bidang kehakiman.

Pada 1988, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menubuhkan sebuah tribunal khas untuk membicarakan Salleh atas tuduhan salahlaku kerana mempersoalkan pindaan perlembagaan yang telah menghakis kuasa bidang kehakiman.

Dua daripada lima hakim Mahkamah AgungDatuk George Seah dan Datuk Wan Sulaiman yang menegaskan bahawa penubuhan tribunal itu tidak mengikut perlembagaan turut dipecat bersama Salleh, selepas didapati bersalah atas kesalahan salahlaku oleh penal enam orang anggota tribunal tersebut.