Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak mungkin Hamid buat dakwaan jika tak ada asas, kata Umno
Diterbitkan:  May 1, 2021 1:00 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

Dakwaan berleluasanya amalan rasuah dalam perbuatan lompat parti oleh ahli politik tidak mungkin dibangkitkan Abdul Hamid Bador jika dia tidak mempunyai asas, ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii.

Kata Razlan, kenyataan pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam pastilah bersandarkan asas tertentu sesuai dengan kedudukannya dalam pasukan keselamatan tersebut.

Justeru katanya dakwaan berkenaan tidak harus dipandang mudah oleh agensi yang bertanggungjawab membasmi amalan rasuah negara iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“SPRM tidak boleh bertindak ibarat menutup sebelah mata melihat jenayah ini berlalu begitu sahaja.

“Saya mendesak SPRM kembali (menjadi) suruhanjaya yang bebas dan berani malah jangan tunduk kepada mana-mana pihak.

"Perlu berani dan telus menyiasat tuduhan ini. Jangan takut dalam menjalankan amanah yang diberikan.

"[...] Siasatan mesti dijalankan, mustahil seorang IGP (ketua polis negara) membangkitkan isu ini tanpa ada asas. Sudah pasti ianya berasas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam pada sidang media terakhirnya sebagai IGP, Abdul Hamid membuat beberapa pendedahan berkaitan tugasnya selama ini. Antara lain bekas pegawai kanan Cawangan Khas PDRM itu meminta SPRM menyiasat unsur rasuah di sebalik tindakan sejumlah ahli parlimen yang melompat parti.

Abdul Hamid Bador

"Saya melawan rasuah dalam pasukan (PDRM), dan saya lihat dalam politik, rasuah berlaku merata-rata tempat. Kenapa mereka tak boleh fikir?

“Mabuk kuasa... sanggup melakukan perbuatan membeli sana, mengugut orang ini. Itu rasuah nama dia. (Patutnya) Adalah maruah diri sikit.

“Sekejap katak melompat sana, sekejap katak berbunyi sana. Apa tu? Ada unsur-unsur apa tu? Rasuah tu. Saya minta SPRM masuk, siasat … (Ia) Memberikan gambaran yang tidak baik, seolah-olah dalam negara ini tidak ada undang-undang,” kata Abdul Hamid di Bukit Aman.

Sebelum nasi jadi bubur

Sejak Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui pakatan beberapa parti pembangkang serta Bersatu, sejumlah sejumlah ahli parlimen berpaling tadah dan mengumumkan sokongan mereka kepada Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri.

Ia berlaku ketika kedudukan sebenar sokongan ahli parlimen di belakang presiden Bersatu itu diragui kesahihannya dan kerajaan pula bertegas enggan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang parlimen.

Malah sebelum ini tular rakaman audio dikaitkan dengan Muhyiddin yang menyarankan amalan memberi jawatan (scheme of things) untuk menarik sokongan ahli parlimen kepada Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim juga mengadakan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki setelah mendakwa ada anggota parlimen PKR yang mengaku ditawarkan sogokan agar lompat parti.

Merujuk kenyataan Abdul Hamid berkenaan perbuatan ‘mengugut’ ahli politik, Razlan mendakwa ia bertujuan untuk mendapatkan undi kepada Bersatu.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki

Tambahnya, ugutan terhadap ramai ahli parlimen supaya menyokong PN itu adalah kesalahan salah guna kuasa yang jijik namun dilakukan secara terbuka.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, menyifatkan dakwaan Abdul Hamid itu sebagai “amat serius” walaupun disifatkan “agak lambat” kerana disuarakan pada hari-hari akhir perkhidmatannya.

Asyraf mendakwa kegiatan rasuah berkaitan lompat parti itu bermula sejak zaman PH lagi apabila ada pihak diugut dan ditekan dengan pelbagai kes mahkamah, cukai, bahkan ditawar pelbagai ganjaran untuk menyertai Bersatu.

Amalan itu, dakwanya, diteruskan pada zaman PN apabila ramai ahli parlimen 'disucikan' daripada pendakwaan atau penyiasatan.

“Bagaimanapun, sebelum nasi menjadi bubur, amat wajar sekali SPRM mengambil tindakan segera tanpa rasa takut atau berat sebelah bagi menyelamatkan negara daripada berterusan dirundung persepsi buruk," katanya.

PH mengambil alih kerajaan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 2018, sebelum menyaksikan - antaranya - ramai ahli Umno melompat parti menyertai Bersatu yang ketika itu masih di dalam PH.

Seorang daripada mereka ialah Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin, yang kemudian dilantik menjadi setiausaha agung Bersatu dan menteri dalam negeri.

Hamzah juga adalah pemimpin politik yang turut dikecam Abdul Hamid dalam sidang medianya semalam kerana didakwa mencampuri urusan dalaman PDRM.

Lihat Komen
ADS