Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) telah mengarahkan pihak media supaya jangan memperbesarkan laporan mengenai dakwaan penyalahgunaan dana untuk menyelenggara dan membaikpulih sekolah jenis kebangsaan Cina.

KDN telah menghantar surat kepada para editor meminta "kerjasama segera" mereka supaya tidak lagi memperbesar-besarkan kontroversi tersebut, yang sebelum ini dibangkitkanoleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,Datuk Ong Tee Keat.

Menurut laporan sebelum ini, hanya RM3,000 dibelanjakan untuk melakukan pengubahsuaian dan rawatan anai-anai di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Yu, tetapi tuntutan bayaran yang dibuat berjumlah RM30,000.

Dalam surat bertarikh 21 September itu, Setiausaha Unit Kawalan Penerbitan KDN, Che Din Yusoh mendakwa laporan mengenai kontroversi tersebut boleh menimbulkan "kekeliruan" di kalangan pembaca dan menghakiskan keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan menangani masalah tersebut.

Kementerian itu juga berkata 'perang mulut' antara Ong dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai isu tersebut telah selesai selepas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed memohon maaf bagi pihak Ong minggu lalu.

Laporan akhbar

Beberapa sumber media memberitahu malaysiakini bahawa wartawan hanya dibenarkan melaporkan mengenai lawatan menteri ke sekolah-sekolah terbabit tetapi mereka dilarang menyiasat lebih lanjut mengenai perkara itu.

Larangan tersebut dijangka menjejaskan sebahagian besarnya, akhbar-akhbar berbahasa Cina kerana mereka turut mendedah kes-kes yang sama yang membabitkan penyelewengan dana tersebut di dua buah lagi sekolah SRJK Mah Hua di Kepala Batas, Pulau Pinang dan SRJK Sin Bin di Kelang, Selangor.

Sabtu lalu, akhbar-akhbar Cina telah melaporkan lawatan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu ke SRJK Mah Hua untuk menyiasat dakwaan penyelewengan dana tersebut ekoran laporan akhbar.

Bagaimanapun, laporan tersebut yang disiarkan dalam edisi petang empat akhbar utama berbahasa Cina Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, China Press dan Guangming Daily mengenai penyelewengan dana di SRJK Din Bin yang membabitkan kos RM5,000 bagi peruntukan sebanyak RM40,000, tidak terdapat dalam edisi pagi akhbar-akhbar berkenaan.

Laporan tersebut bagaimanapun masih terdapat dalam lamanweb akhbar-akhbar terbabit.

Dana khas itu disediakan untuk kerja-kerja membaiki dan menaiktaraf sekolah rendah yang ditubuhkan tahun lalu ekoran kejadian seorang guru terbunuh selepas terjerlus dari tingkat atas sebuah sekolah rendah Cina di Kedah.

Faks Kit Siang

Dalam reaksinya, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkata, beliau telah menghantar faks kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menarik balik arahan melarang media melaporkan mengenai kes penyalahgunaan dana tersebut.

Katanya, Abdullah mesti mengisytihrkan bahawa pentadbirannya terus mahu mendengar 'kebenaran' daripada rakyat, walaupun tidak menyenangkan, dan beliau komited terhadap kebebasan media.

Katanya, beliau memberitahu Perdana Menteri yang beliau menghantar mesej yang salah, memandangkan pentadbirannya komited untuk membasmi rasuah dan penyalahgunaan dana awam.

Katanya, jika pentadbiran Abdullah tidak mampu berdepan dengan pendedahan membabitkan RM30,000 atau RM40,000 maka siapa yang akan percaya ia akan menyokong pendedahan yang membabitkan beratus, malah berbilion ringgit wang rakyat.