Umno Johor tetap mahu projek yang lebih menguntungkan Singapura daripada rakyat tempatan seperti projek keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura dibatalkan.

Ketua Penerangannya, Dr Puad Zakarshi berkata, ini kerana projek seperti itu hanya menguntungkan Singapura kerana kalau berdasarkan kertas cadangan yang dikemukakan oleh YTL Corporation, perjalanan keretapi laju itu membabitkan Kuala Lumpur dan Singapura sahaja tanpa persinggahan di tempat lain termasuk Johor Bharu.

" Kalau perjalanan membabitkan dua distinasi ini sahaja, ia jelas sekali akan hanya menguntungkan republik itu kerana lebih ramai rakyat negara ini akan ke pulau tersebut untuk berjudi dan berhibur nanti," jelasnya.

"Kita jangan lupa Singapura merancang membina dua buah kasino dan taman tema tidak lama lagi. Kita kena berhati-hati supaya projek-projek yang dijalankan tidak merugikan negara sendiri," ujarnya.

Dr. Puad menjawab kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mengatakan Malaysia tidak boleh membatalkan semua pelaburan asing dari Singapura kerana ia akan memberi isyrat tidak tepat kepada dasar pelaburan asing negara.

Najib berkata demikian bagi mengulas gesaan Umno Johor semalam yang mahu apa jua projek, termasuk projek keretapi laju yang lebih menguntungkan republik itu daripada rakyat negara ini dibatalkan.

Kenyataan kontroversi

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Batu Pahat berkata, Umno Johor tidak bermaksud semua pelaburan dari Singapura perlu disekat tetapi hanya mahu projek-projek yang menjejaskan kepentingan negara dan rakyat dikaji secara terperinci.

" Projek-projek yang akan membawa keuntungan besar kepada rakyat seperti pembangunan Wilayah Ekonomi Selatan Johor (SJER) amat kita alu-alukan kerana diyakini akan membawa kesan positif kepada negara dan negeri Johor.

"Kita hanya mahu kerajaan bertegas dan berhati-hati bagi memastikan kepentingan rakyat terjamin,"tambahnya.

Dr Puad juga menyatakan, dengan adanya sikap tidak bertolak ansur seperti yang ditunjukkan oleh Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew baru-baru ini, kerajaan sepatutnya lebih peka dan tegas dalam isu dan projek yang membabitkan kedua-dua negara.

"Selama ini kita banyak bertolak ansur dengan republik itu sedangkan ada pemimpin mereka tidak menghargainya. Umno Johor merasakan sudah sampai masanya kita bertegas," katanya.

Menurutnya, pendirian Umno Johor itu dan isu kenyataan kontroversi bekas Perdana Menteri Singapura itu berhubunga nasib orang Cina di negara ini akan dimaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman esok, sekembalinya beliau dari luar negara.

"Kita percaya selaku Pengerusi badan perhubungan Umno Johor, Datuk Ghani akan membawa isu ini ke mesyuarat Majlis Tertinggi pada Khamis ini bagi menyuarakan ketidakpuasan hati dan kebimbangan rakyat Johor terhadap isu-isu membabitkan Singapura.

" Satu keputusan atau mesej tegas yang tegas perlu dihantar kepada Singapura," tambahnya.