Malaysiakini
BERITA

Tunggakan cukai: Individu didakwa orang kanan Jho Low diarah bayar RM67.9j

Hidir Reduan Abdul Rashid

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Mei 2021, 5:49 pagi

Tan Kim Loong, individu yang didakwa menjadi orang kanan ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho, telah diarahkan mahkamah untuk membayar RM67.9 juta, atas dakwaan cukai tertunggak.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan untuk penghakiman ingkar (JID) terhadap Tan.

Terdahulu, kerajaan memfailkan saman cukai kepada Tan dan dua lagi individu didakwa sebagai sekutu Low, iaitu Jasmine Loo Ai Swan dan Casey Tang.

Pada 18 Februari, Loo yang merupakan bekas pegawai perundangan 1MDB merupakan individu pertama yang dikenakan JID. Dia diarahkan membayar RM2.4 juta untuk cukai tidak dibayar.

Prosiding terhadap Tang pula bagi menuntut dakwaan tunggakan cukai sebanyak RM6.7 juta.

Pada masa ini, polis masih cuba mengesan lokasi keempat-empat individu terbabit bagi membantu siasatan terhadap skandal 1MDB.

Nama Tan, Tang dan Loo disebut berulang kali dalam perbicaraan kes rasuah dana RM2.28 bilion 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Menurut kenyataan Tan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 November 2015, dia didakwa menjadi pemilik benifisiari kepada beberapa syarikat yang didakwa menyalurkan wang berbilion ringgit ke akaun Najib Razak antara 2011 hinga 2015.

Dalam kenyataan itu, Tan mendakwa dia tidak tahu kepada siapa wang itu dipindahkan.

Menurut undang-undang, plaintif boleh meminta JID jika defendan gagal muncul, walaupun kertas kausa telah dihantar kepadanya. Seorang defendan hadir ke perbicaraan, sama ada secara sendiri atau melalui peguam.

Bagi menyokong permohonan JID, kerajaan juga membuat pemfailan mahkamah berhubung dakwaan kegagalan Tan untuk hadir dalam tindakan undang-undang terhadapnya.

Menurut salinan JID bertarikh 3 Mei yang dilihat Malaysiakini, Tan diarahkan membayar RM67,996,891.87 kepada plaintif, iaitu kerajaan Malaysia.

Kerajaan menuntut apa yang menurutnya sebagai cukai tak dibayar daripada Tan bagi tahun taksiran 2010 hingga 2013.

Jumlah itu termasuk penalti bagi setiap tahun taksiran yang tidak dibayar.

Dia juga diarahkan membayar faedah tahunan lima peratus daripada jumlah yang dituntut, yang dikira dari tarikh penghakiman sehingga tarikh pembayaran penuh, serta kos sebanyak RM2,000.

Malaysiakini sedang menunggu respons Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung perkara ini.

[Baca berita asal]

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.