Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu Hamid-Hamzah: Pemuda PH lapor SPRM, gesa Hamzah 'direhatkan'

Pemuda PH hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tiga isu mutakhir ini membabitkan kenyataan bekas ketua polis negara (IGP) Abdul Hamid Bador serta isu berkaitan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Mereka membuat aduan berkenaan kenyataan Abdul Hamid berhubung amalan rasuah dalam perbuatan lompat parti oleh ahli politik.

Selain itu, laporan turut dibuat mengenai rakaman perbincangan membabitkan Hamzah tentang pelantikan "budak kita" dalam pasukan polis, serta kenyataan Abdul Hamid yang dilaporkan mendakwa Hamzah cuba menggunakan jabatan cawangan khas (JCK) untuk kepentingan politik dirinya.

Laporan itu dibuat di bangunan SPRM Kuala Lumpur hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan, Ketua Pemuda PH Shazni Munir Mohd Ithnin memaklumkan SPRM mengakui isu yang dilaporkan itu merupakan isu penting dan akan memberikan respons segera mengenainya.

Katanya, SPRM akan menyerahkan laporan itu kepada ibu pejabat di Putrajaya, dan mereka akan menunggu respons daripada ibu pejabat mengenai perkembangan siasatan.

"Kita menggesa SPRM untuk menyiasat dakwaan serius oleh Abdul Hamid. Dia bukan calang-calang orang tetapi bekas IGP, dan kita rasa dakwaan olehnya ada merit yang perlu dipandang serius oleh pihak penguat kuasa khususnya SPRM," katanya. yang juga ketua pemuda Amanah.

Dia dilihat keluar bangunan SPRM kira-kira jam dua petang, diiringi Naib Ketua Pemuda PKR Syed Badli Shah Syed Osman dan Ketua Pemuda DAP Howard Lee Chuan How, serta beberapa yang lain.

Syed Badli berkata, dengan laporan yang dibuat, Pemuda PH menggesa agar Hamzah direhatkan sementara menunggu siasatan selesai.

"Kami minta perdana menteri untuk ambil tindakan merehatkan Hamzah daripada jawatan. Ini berikutan terlalu banyak laporan terhadapnya.

"Wajib atau wajar bagi perdana menteri merehatkan Hamzah sehingga siasatan selesai," katanya lagi.

Semalam, Wanita Pejuang turut membuat laporan polis berkenaan rakaman audio Hamzah di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi.

Audio dikaitkan Hamzah itu mula tersebar hujung bulan lalu, memaparkan dia membincangkan isu pelantikan dalam pasukan polis.

"Because (kerana) dia budak kita, budak Perak, family (keluarga) semua kat sana and it will be very good for us (baik untuk kita),” katanya, dan menambah akan memilih siapa yang dia kenal.

Beberapa hari kemudian, pada 30 April, Hamzah mengaku bahawa suara itu adalah miliknya namun menegaskan tidak melakukan sebarang kesalahan dengan membangkitkan kedudukannya sebagai pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang menentukan tugasan pegawai polis.

Dalam sidang media terakhirnya sebagai IGP pada hari sama, Abdul Hamid juga menggesa SPRM menyiasat unsur rasuah berhubungan perbuatan melompat parti dalam kalangan ahli politik.

Audio Hamzah dan kenyataan Abd Hamid itu mengundang ulasan daripada pelbagai pihak, baik ahli politik mahupun NGO yang menggesa agar tidak berlaku campur tangan politik dalam polis.

Pemuda PH turut meminta IGP baru, Acryl Sani Abdullah Sani untuk bersuara dalam kes yang dibangkitkan Abdul Hamid. Untuk rekod, Acryl Sani berkata dia akan mengulas mengenainya dalam sesi khas kepada media tidak lama lagi.

Sementara itu, Lee menyifatkan tindakan diambil mereka semata-mata bagi memulihkan negara daripada krisis keyakinan yang dihadapi pada masa ini.

Lebih-lebih lagi, di kala ahli politik yang merupakan menteri dan timbalan menteri dikatakan mempunyai kuasa yang tidak boleh dipertikaikan dalam pelaksanaan darurat kini.

"Mereka menggunakan kuasa muktamad dan tidak boleh dipertikaikan untuk memperalatkan institusi kerajaan yang sepatutnya membantu rakyat dan memperkasa demokrasi, (tetapi digunakan) untuk menindas rakyat dan mematikan demokrasi," katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS