Malaysiakini
BERITA

Dr M: Saya akan jumpa Khalid Abu Bakar di mahkamah

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Mei 2021, 10:42 pagi

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan telah menerima surat tuntutan daripada bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar.

Mahathir berkata dia juga telah mengarahkan peguamnya untuk menjawab surat berkenaan.

"Saya telah menerima surat tuntutan daripada bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar.

"Saya mengarahkan penguam untuk menjawabnya. Saya akan jumpanya di mahkamah," katanya dalam satu kenyataan ringkas di Facebooknya, hari ini.

Dua hari lalu, Khalid dilaporkan memberi tempoh tujuh hari untuk Mahathir membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan yang menurutnya berunsur fitnah bulan lalu.

Khalid Abu Bakar

Khalid turut menuntut bekas perdana menteri itu menarik balik kenyataan yang menurutnya tidak benar dan menjejaskan reputasinya sebagai bekas ketua polis negara.

Jika Mahathir berbuat demikian, Khalid berkata dia akan memfailkan tuntutan ganti rugi sebanyak RM10 juta terhadap Mahathir.

“Saya beri Mahathir tujuh hari untuk membuat permohonan maaf dan menarik balik semula kenyataannya.

“Jika gagal saya akan arahkan peguam saya meneruskan tindakan saman kerana memfitnah," kata Khalid seperti dipetik portal PNBBC.

Ia berhubung artikel bertajuk 'Khalid Abu Bakar bocor rancangan pada Najib' yang disiarkan portal The Malaysian Insight pada 16 April lalu.

Laporan itu memetik wawancara Mahathir bersama Malaysiakini yang antaranya berkenaan perbualan bekas perdana menteri itu dengan bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz berhubung jumlah wang dalam akaun Najib.

Menurut Mahathir, Zeti memberitahu beberapa tahun lalu dia, Khalid, bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Kassim Mohamad merancang untuk bertindak terhadap Najib berhubung skandal 1MDB.

Kata Mahathir lagi, Zeti memaklumkan ia tidak dapat diteruskan selepas Khalid memberitahu Najib berkenaan "kumpulan empat orang" itu.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.