Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Selangor batalkan pasar Ramadan di kawasan PKP
Diterbitkan:  May 5, 2021 5:01 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

  • Dikemas kini dengan keputusan berkaitan bazar raya dan pasar malam.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengumumkan pembatalan pasar Ramadan di enam kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP) di negeri itu yang akan bermula esok.

Keputusan itu akan berkuat kuasa Sabtu ini, bagi memberi masa kepada peniaga menghabiskan stok.

“Dalam SOP (prosedur operasi piawai) yang telah dikeluarkan, kita dapati operasi bazaar Ramadan tidak dibenarkan.

“Namum semalam menteri pertahanan telah keluarkan arahan untuk benarkan, dan kita telah buat keputusan semua bazar tidak dibenarkan beroperasi di negeri Selangor mulai Sabtu.

“Ini untuk beri peluang untuk pemilik gerai atau pengurus bazar Ramadan untuk selesaikan beberapa tugasan mereka, terutama untuk selenggara dan uruskan stok-stok yang mungkin mereka telah kumpulkan.

“Dengan ambil kira jumlah hari niaga telah cecah 25 hari menjelang Jumaat, kita tidaklah begitu kejam,” katanya.

Dengan keputusan itu bermakna peniaga telah diberikan peluang selama 25 hari.

Katanya, keputusan itu dibuat susulan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor pagi ini.

Sementara itu, Amirudin turut mengumumkan kerajaan Selangor memperuntukkan bantuan RM500 kepada 11,000 peniaga pasar Ramadan yang terjejas dengan penutupan itu.

PKP di Selangor akan bermula esok sehingga 17 Mei di daerah Petaling, Hulu Langat, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Bazar raya dan pasar malam masih dibenarkan 

Bagaimanapun, bazar raya dan pasar malam masih dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP sehingga jam 10 malam dengan syarat ketat, iaitu:

Jumlah pengunjung pada satu-satu masa dihadkan mengikut saiz bangunan / premis.

Sistem nombor giliran akan dikuatkuasakan.

Kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk.
Pengurusan bazar wajar melantik pemantau bagi memastikan pematuhan SOP.

Operator yang tidak mengikuti SOP akan dikompaun dan bazar terbabit akan ditutup serta-merta.

Lihat Komen
ADS