Dr M akui tawar jawatan lumayan kepada Salleh Abas
Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui menawarkan jawatan dalam Bank Pembangunan Islam (IDB) kepada Tun Salleh Abas pada tahun 1988 jika bekas Ketua Hakim Negara itu bersetuju meletak jawatan.
Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui menawarkan jawatan dalam Bank Pembangunan Islam (IDB) kepada Tun Salleh Abas pada tahun 1988 jika bekas Ketua Hakim Negara itu bersetuju meletak jawatan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau menelefon Salleh memintanya meletakkan jawatan bagi mengelakkan skandal dalam sistem kehakiman negara ketika itu.
" Saya beritahu dia (Salleh) tentang masalah yang timbul dan cara terbaik menyelesiakannya ialah beliau meletak jawatan. Pada mulanya dia setuju untuk terima tawaran itu tapi beberapa kemudian dia menukar fikirannya."
" Selepas itu kerajaan terpaksa ambil tindakan. Itu saja yang berlaku, ia adalah satu tindakan yang perlu diambil," jelasnya kepada media di Putrajaya.
Dr Mahathir menghadiri majlis perlantikannya sebagai Pengerusi baru Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Yayasan Kepimpinan Perdana malam tadi.
Menurut laporan media hari ini Dr Mahathir telah membawa kes Salleh itu kepada Yang Dipertuan Agong bagi memohon tindakan diambil terhadap bekas Ketua Hakim Negara itu.
"Baginda berkata terpulang kepada saya untuk bertindak. Tapi saya tiada kuasa dan kerajaan terpaksa mengambil tindakan yang perlu untuk mengelakkan masalah,"
Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak menjelaskan sebab beliau meminta Salleh meletakkan jawatan.
Salleh dipecat pada 1988 kerana salah laku berdasarkan syor daripada tribunal kehakiman yang ditubuhkan oleh Yang Dipertuan Agong. Dua lagi hakim yang dipecat bersama beliau ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk George Seah dan Daytuk Wan Sulaiman Pawanteh.
Fakta baru
Sementara itu bekas Ketua Hakim Negara itu dalam satu kenyataan pada petang semalam mengemukakan fakta baru berhubungan pemecatannya itu.
Salleh mengemukakan fakta-fakta baru itu sebagai respons kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Aziz minggu lalu yang bersetuju untuk membuka semula kes pemecatan itu jika muncul fakta-fakta baru dan penting.
Dalam kenyataannya sepanjang empat muka surat itu, antara lain Salleh berharap fakta-farkta baru yang dikemukannya itu akan mendorong kerajaan menyemak semula kes pemecatannya.
Fakta-fakta tersebut ialah:
* Dr Mahathir memintanya berhenti atau terpaksa menghadapi tribunal.
* Seorang wakil kepada seorang menteri kanan memujuknya supaya meletak jawatan atau pergi bercuti panjang. Jika tidak beliau akan dipecat. Beliau juga ditawarkan jawatan sebagai Pengarah Bank Pembangunan Islam di Jeddah dengan gaji yang sangat lumayan.
* Sebulan selepas beliau digantung tugas, Raja-raja Melayu bersetuju memaafkannya jika beliau memohon maaf pada Yang Dipertuan Agong kerana menulis satu surat kontroversi kepada baginda. Bagaimanapun perkara itu tidak berlaku apabila Salleh mengadap baginda.
* Penggantungan lima Hakim Mahkamah Rayuan yang akhirnya membawa kepada pemecatan dua daripadanya dirancang bagi menghalang mereka mendengar permohonan Salleh supaya kes pemecatannya dikaji semula.
* Sultan Johor yang menjadi Yang Dipertuan Agong ketika itu memberitahu Salleh bahawa baginda telah "dipergunakan". Baginda mahu memohon maaf secara terbuka terhadap peranannya dalam pemecatan Salleh tetapi pihak atasan dari Kuala Lumpur akhirnya berjaya "memujuk" baginda jangan berbuat demikian.
Kenyataan Salleh dan reaksi Dr Mahathir itu dilaporkan secara meluas oleh akhbar-akhbar tempatan hari ini.

