Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Husin menyifatkan pelancaran mata wang Dinar oleh kerajaan Kelantan minggu lepas hanya gimik politik yang tidak akan menguntungkan rakyat negeri itu.

Sebaliknya beliau mengingatkan mereka yang membeli wang emas itu terdedah kepada risiko kerugian besar kerana harga emas sentiasa turun naik mengikut harga pasaran tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata, mereka yang membeli dan menyimpan Dinar yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Kelantan itu mesti bersedia untuk menghadapi risiko kerana Dinar Kelantan itu hanya dilaksanakan oleh kerajaan negeri secara sendirian dan tidak boleh diterima oleh undang-undang kewangan negara.

"Ia sekadar boleh disimpan sama seperti membeli barang-barang kemas di kedai emas," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa dan penyampaian wang zakat kepada 25 fakir miskin di Mukim Pak Pura, Beris Kubur Besar malam semalam.

Beliau yang jug aahli Parlimen Bachok mengulas pelancaran mata wang Dinar oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai konsep tabungan kepada rakyat Kelantan pada Rabu lepas.

Menurut laporan Bernama, Awang Adek menasihatkan rakyat Kelantan yang mempunyai lebihan wang menyimpannya di bank-bank yang nilainya lebih terjamin dan tidak pernah diturunkan malah akan mendapat banyak faedah.

Awang Adek yang juga anggota Parlimen Bachok berkata sudah menjadi tabiat orang Kelantan suka menyimpan barang-barang emas yang direka daripada pelbagai bentuk dan mudah dibawa ke mana-mana.

Bagaimanapun, katanya, mereka boleh mengalami kerugian besar apabila nilainya jatuh atau terpaksa menjualnya apabila memerlukan wang segera yang harganya akan ditentukan sesuka hati oleh pekedai emas.

Beliau yakin sebilangan kecil saja rakyat Kelantan yang terpengaruh kerana mereka sudah menyedari ia tidak lebih dari "satu gimik politik".