Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menuntut parti itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa untuk menjelaskan bagaimana calon dari parti itu tidak dilantik sebagai Datuk Bandar Kuching Selatan.

Malah, dalam satu kenyataan hari ini, exco pusat pergerakan itu berkata "jika timbul keperluan, pucuk pimpinan parti itu perlu ditukar kerana meletakkan parti dalam kedudukan tersebut di mata ahli dan rakyat".

Semalam, Ketua Pemudanya, Allan Sim, yang juga setiausaha politik kepada Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, ahli SUPP kecewa dengan keputusan kerajaan negeri itu. Sim adalah antara calon yang dicadang dilantik ke jawatan tersebut.

Jawatan datuk bandar Kuching disandang oleh calon dari SUPP yang merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak, sejak penubuhan Malaysia pada 1963.

Semua itu bertukar apabila seorang kakitangan awam Chong Ted Tsiung, 50, dilantik sebagai datuk bandar semalam, mengambil alih jawatan itu daripada Chan Seng Khai dari SUPP, yang meletakkan jawatan Jun lalu selepas kalah dalam pilihanraya negeri pada bulan Mei.

Sehingga ini, pemimpin SUPP, termasuk Presidennya Datuk Dr George Chan, belum membuat sebarang komen mengenai perlantikan Chong itu.

Selepas mesyuarat pemimpin parti itu diadakan minggu lalu, SUPP bersetuju membuat rayuan supaya kerajaan negeri menukar keputusan tersebut. Bagaimanapun, Chan dikatakan gagal menemui Taib, walaupun mencuba sedaya upaya, untuk menyampaikan rayuan tersebut.

Rasa kecewa

Jawatankuasa pusat parti itu akan bermesyuarat hujung minggu ini untuk membincangkan perkembangan terbaru itu. Timbul desas-desus yang mengatakan salah seorang ahli jawatankuasa pusat parti itu akan mengemukakan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Chan.

Chan dan beberapa orang lagi pemimpin SUPP dijangka menjadi sasaran dalam mesyuarat tersebut untuk menjelaskan mengapa mereka tidak berusaha bersungguh-sungguh supaya calon dari parti itu dilantik sebagai datuk bandar.

Difahamkan Chan (foto) telah memaklumkan kepada sesetengah pihak bahawa Sim membuat kecoh kerana beliau tidak dipilih.

Fokus kritikan tersebut kemudiannya berpindah kepada Bendahari SUPP David Teng, yang didakwa Sim, telahpun mengetahui mengenai perlantikan seorang kakitangan awam ke jawatan tersebut, sebelum Kabinet negeri membuat keputusan mengenainya pada 7 September.

Sebelum ini, SUPP telah menubuhkan jawatankuasa sepuluh anggota untuk memilih calon datuk bandar, sebelum Kabinet negeri membuat sebarang keputusan, tetapi Sim mendakwa, jawatankuasa tersebut tidak pernah bermesyuarat.

Ahli-ahli parti itu dikatakan telah memaklumkan kepada pucuk pimpinan SUPP mengenai kemungkinan parti itu akan mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya Parlimen nanti jika mereka dan para penyokong hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinannya.

Dalam kawasan Kuching sahaja, SUPP kalah empat kerusi dewan undangan negeri kepada pembangkang, terutamanya DAP. Berita asal