Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada dana raya, bantuan RM100 kepada terjejas Covid-19 - MB T’ganu
Diterbitkan:  May 7, 2021 3:36 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Pengagihan Dana Raya di Terengganu tidak lagi diteruskan sebaliknya ditukar dengan pemberian keperluan asas kepada golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sesetengah penerima akan mendapat wang tunai sebanyak RM100 namun ia bergantung kepada beban yang ditanggung mereka.

“Kita sasarkan sekitar 1,000 orang di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). Sekarang ini masih dalam proses untuk mengenal pasti mereka yang terjejas akibat wabak ini.

“Kalau ikutkan ramai hendak wang tunai tetapi apa yang penting ialah keperluan asas yang mendesak...duit sekejap sahaja habis. Yang penting rakyat perlu teruskan kehidupan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tablet kepada 50 pelajar yang menetap di sekitar Rhu Rendang di Marang hari ini.

Pada 2018, kerajaan negeri meneruskan inisiatif Dana Raya yang diperkenal Barisan Nasional (BN) iaitu pemberian wang tunai antara RM300 hingga RM400 kepada setiap penerima namun setahun selepas itu menukar kaedah pemberian kepada kumpulan yang benar-benar layak sahaja.

Selain itu, beliau berkata kira-kira 13,600 penjawat awam di negeri ini menerima bonus sebanyak RM500 bermula semalam bersempena Aidilfitri.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di 14 mukim di Besut hingga 20 Mei terpaksa dilakukan meskipun mengecewakan ramai pihak.

Beliau tidak menafikan penularan jangkitan ke Besut mempunyai kaitan dengan kes di Kelantan dan wujudnya banyak lorong tikus yang menyebabkan berlakunya pergerakan rentas negeri melalui Besut sehingga sukar dikawal.

“Kerajaan negeri berasa tiada jalan lain yang lebih selamat daripada menular ke daerah lain dan menjadi lebih parah. Kita terpaksa ambil pendekatan yang tidak menggembirakan ramai orang meskipun ‘hendak raya’...tetapi kita terpaksa.

“Keputusan itu telah dibuat secara bersama dengan pelbagai agensi terlibat termasuk kerajaan Persekutuan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS