Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
4,498 kes baru Covid-19
Diterbitkan:  May 7, 2021 4:26 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Malaysia merekodkan 4,498 kes Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, setelah lebih sebulan (39 hari) mencatatkan angka terendah iaitu 941 kes pada 29 Mac.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Twitternya berkata jumlah kes baru itu menjadikan kes kumulatif Covid-19 di dalam negara kini berjumlah 432,425 kes.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Selangor masih merekodkan jumlah kes tertinggi melibatkan 1,424 kes diikuti Sarawak (750) dan Kuala Lumpur (436).

Johor pula mencatatkan 327 kes, diikuti Pulau Pinang (313); Kelantan (297); Kedah (209); Negeri Sembilan (188); Sabah (153); Perak (148); Terengganu (87); Pahang (78); Melaka (74); Putrajaya (lapan); Perlis (empat) dan Labuan (dua).

Dalam hantaran Twitter berasingan, Dr Noor Hisham memaklumkan setakat 7 Mei 2021 negara merekodkan kemasukan 506 kes ke Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu jumlah tertinggi sejak pandemik itu melanda negara.

Menurutnya jumlah itu termasuk 372 kes positif Covid-19 (211 kes memerlukan bantuan alat pernafasan, 161 tidak memerlukan bantuan alat pernafasan) dan baki 134 kes adalah kes dalam siasatan serta sedang menunggu keputusan makmal.

“Kes-kes ‘suspected dan probable’ juga dirawat dengan menggunakan tatacara pencegahan dan kawalan infeksi yang sama seperti kes-kes positif Covid-19 di ICU atau katil kritikal,” katanya.

Dalam kenyataan media harian perkembangan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 1,632 kes susulan 22 kematian baru dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Selain itu, beliau memaklumkan 3,449 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatifnya 396,004 kes manakala kes aktif kini 34,789.

Mengenai kluster baru, Dr Noor Hisham berkata 19 kluster dikenal pasti hari ini melibatkan 10 kluster tempat kerja, empat kluster komuniti, tiga kluster keagamaan dan dua kluster sektor pendidikan termasuk satu kluster institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

"Kluster berkaitan tempat kerja melibatkan Persiaran Perpaduan USJ, Jalan Nouvelle di Selangor; Jalan Manjalara Idaman dan Jalan Udang Harimau di Kuala Lumpur; Jalan Besar Pasir Mas di Kelantan; Blok D Jalan Pending di Sarawak; Jalan Kempas Pagoh di Johor; Ladang LSP di Sabah; Jalan Perusahaan Empat di Perak; dan Jalan PKAK Ayer Keroh di Melaka.

“Kluster komuniti pula melibatkan Pulau Ketam di Selangor, Penurin di Sarawak, Kampung Kochang di Kelantan dan Dah Lengkuas di Kedah manakala kluster keagamaan ialah Jalan Limbang dan Beladin di Sarawak, serta Dah Utama di Kedah,” katanya.

Bagi kluster institusi pendidikan KPM, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan Jalan Pahlawan Empat di Johor manakala kluster pendidikan lain di Jalan Midah Besar di Kuala Lumpur.

Sebanyak 12 kluster tamat hari ini dengan jumlah kluster aktif 425 kluster.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS