Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh membidas wakil rakyat pembangkang yang didakwanya tidak menghormati kesucian bulan Ramadan apabila menggunakan kata-kata kesat semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Datuk Wan Abdul Muttalib Embong (PAS-Batu Burok) yang memanggil Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan negeri Datuk Rosol Wahid sebagai "bodoh, tolol".

Kejadian itu berlaku semasa Wan Abdul Muttalib (foto) membahaskan Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) Pindaan 2006 yang dibawa usulnya oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Ahmad Said.

Menurut laporan Bernama, ketika itu, Rosol mencelah meminta wakil pembangkang itu memberikan penjelasan terhadap beberapa perkara mengenai SPN.

Tarik balik

Bagaimanapun, Wan Abdul Muttalib menarik balik kata-kata kesat itu selepas diarahkan Yang Dipertua Dewan, Datuk Che Mat Jusoh

Idris berkata, menggunakan kata-kata kesat seolah-olah telah menjadi satu kebiasaan kepada pemimpin PAS tanpa menghiraukan sama ada ianya bulan Ramadan atau tidak.

"Mereka selalu bercakap tentang Islam tetapi keluar kata-kata yang tidak elok di dalam dewan yang mulia semasa persidangan," katanya ketika ditemui pemberita di luar dewan selepas sidang DUN.

"Kita tidak dengar pun kata-kata-kesat ini keluar dari mulut pemimpin Barisan Nasional kerana kita tahu menghormati keberkatan dan kemuliaan bulan Ramadan ini," tambah Idris.

Sidang dewan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak.