Harga ayam naik lagi 30 sen hingga 40 sen
Selepas seminggu harga ayam naik 50 sen hinga 65 sen, Persekutuan Persatuan Penternak Ayam Malaysia mengumumkan kenaikan baru antara 30 sen hingga 40 sen semalam.
Selepas seminggu harga ayam naik 50 sen hinga 65 sen, Persekutuan Persatuan Penternak Ayam Malaysia mengumumkan kenaikan baru antara 30 sen hingga 40 sen semalam.
Pengerusinya, Yap Kim Hwah berkata ia disebabkan kenaikan mendadak permintaan ayam daging berbanding bekalan yang ada.
Bagaimanapun, katanya, harga baru masih di bawah harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu antara RM4 dan RM6.70 sekilogram.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam, Yap berkata, pengeluar ayam telah menanggung kerugian besar antara RM2 juta hingga RM3 juta sebulan sejak Januari sehingga bulan ini yang berpunca daripada lebihan bekalan ayam dan kebimbangan terhadap penyakit selesema burung.
Beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan ayam adalah mencukupi untuk perayaan Deepavali dan Hari Raya bulan depan dan berjanji bahawa "daging ayam akan diperoleh pada harga yang berpatutan pada masa itu".
Menurut laporan Bernama, harga baru ayam diproses tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal ialah RM6.05 sekilogram berbanding RM5.65 sekilogram sebelum ini. Harga siling yang ditetapkan ialah RM6.70 sekilogram.
Harga ayam diproses berserta kaki, kepala, hati dan hempedal dinaikkan sebanyak 35 sen kepada RM5.40 sekilogram. Harga siling yang ditetapkan ialah RM6 sekilogram.
Harga pemborong ayam telah dinaikkan sebanyak 30 sen kepada RM4.50 sekilogram dengan harga silingnya ialah RM5 sekilogram.
Harga pemborong ayam siang pula naik sebanyak 35 sen kepada RM4.80 sekilogram dengan harga siling RM5.40 sekilogram, manakala harga pemborong ayam hidup naik 30 sen kepada RM4 sekilogram dengan harga siling yang ditetapkan RM4.50 sekilogram.
Harga di ladang ayam hidup pula dinaikkan sebanyak 30 sen kepada RM3.50 sekilogram dengan harga siling yang ditetapkan RM4 sekilogram.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.