Suasana sunyi sepi di kawasan selatan yang sedang bergolak, selepas berlakunya rampasan kuasa di Thailand minggu lalu, dipecahkan dengan kejadian empat orang ditembak mati pagi semalam.

Dua lelaki menembak mati seorang pegawal sebuah sekolah di daerah Panarek di Yala, Amnuai Lilnam dalam sebuah bas pada 7.50 pagi manakala pasangan suami isteri dan seorang lelaki ditembak di daerah Muang, juga di Yala, pada tengah hari.

Nairem Pakdijit, 61, dibunuh di tempat kejadian oleh dua lelaki bersenjata api manakala isterinya, Yad Pakdijit, dan NaiChatchai Sukprasert, 39, mati di hospital.

Menurut laporan Bernama, lebih 1,700 orang terbunuh di Yala, Narathiwat, Pattani dan Songkhla sejak keganasan memuncak di kawasan itu dua tahun lepas.

Wujud harapan bahawa penggulingan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra pada 19 September akan meredakan keganasan di kawasan-kawasan sempadan di selatan.

Sebelum penggulingan beliau, Thaksin menolak cadangan pemimpin rampasan kuasa itu iaitu Panglima Tentera Jen Sonthi Boonyaratglin untuk mengadakan rundingan dengan militan yang melancarkan perang gerila terhadap Bangkok.