Syarat pengambilan pelajar asing di kolej negara ini terlalu longgar dan tanpa had sekatan, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.

"Pegawai di Imigresen hanya cop sahaja (untuk visa pelajar). Proses dan prosedur lain semuanya dilakukan oleh kolej terbabit," kata Radzi yang pernah mencadangkan kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed supaya memperkenalkan kuota pengambilan pelajar asing.

Berikutan itu, beliau sekali lagi menggesa Kementerian Pengajian Tinggi supaya memperkenalkan segera kuota kemasukan pelajar asing di kolej bagi memudahkan pemantauan dan mengelakkan penyalahgunaan visa pelajar.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, berdasarkan rekod Imigresen, 1,271 pelajar asing dilaporkan hilang dan jumlah ini tidak termasuk yang direkodkan oleh pihak berkuasa yang lain. Menurutnya, kini terdapat lebih 30,000 pelajar asing belajar di negara ini.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementerian itu semalam, berkata, syarat yang lebih ketat perlu bagi mengelak berulangnya kes institusi pendidikan tinggi swasta berselindung di sebalik visa pelajar untuk mengambil pekerja asing.

Pada 7 September lalu, Jabatan Imigresen menyerbu sebuah kolej di Alor Star milik Kerajaan Negeri Kedah kerana disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket pengambilan pekerja asing dengan berselindung di sebalik pengambilan pelajar asing.

Ketika serbuan dilakukan, didapati 151 pelajar asing daripada keseluruhan 207 pelajar mengikut rekod kolej berkenaan didapati telah lesap dan kewujudan mereka, iaitu dari Pakistan sebagai pelajar, adalah diragui.