Snap beroperasi seperti biasa sementara menunggu rayuan
Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) telah mendapatkan lanjutan penangguhan perintah daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk beroperasi seperti biasa sementara menunggu rayuannya terhadap perintah pembatalan pendaftaran parti itu pada 2002.
Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) telah mendapatkan lanjutan penangguhan perintah daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk beroperasi seperti biasa sementara menunggu rayuannya terhadap perintah pembatalan pendaftaran parti itu pada 2002.
Rayuan parti itu untuk menyemak semula keputusan Pendaftar Pertubuhan, telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 15 September lalu dan semalam Hakim Mahkamah Tinggi Wan Arfah Wan Ibrahim telah melanjutkan penangguhan perintah pembatalan pendaftaran Snap itu sehingga Mahkamah Rayuan mendengar rayuan tersebut.
Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar rayuan tersebut.
Snap pada mulanya diberi lanjutan penangguhan perintah itu selama dua minggu selepas keputusan mahkamah September lalu. Walaupun parti itu terus memfailkan rayuan, tetapi perkara itu belum lagi ditetapkan untuk didengar, dan oleh itu ia perlu memohon lanjutan penangguhan tersebut.
Timbalan Presiden Snap, Justine Jinggut memberitahu malaysiakini bahawa keputusan terbaru ini bermakna parti itu boleh terus beroperasi secara sah seperti biasa.
Aktif bahagian
Katanya, parti itu akan menggunakan peluang tersebut untuk mengaktifkan bahagian-bahagiannya di seluruh Sarawak.
Snap mendakwa mempunyai kira-kira 100,000 ahli, tetapi jumlah sebenarnya mungkin telah berkurangan selepas Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), yang dipimpin oleh bekas ahli kanan Snap, Datuk William Mawan, ditubuhkan sewaktu kemuncak krisis kepimpinan Snap pada 2002.
Justine bagaimanapun menambah bahawa part itu, yang ditubuhkan pada 1961, akan terus berpegang kepada matlamat asal penubuhannya sebagai sebuah parti berbilang kaum.
"Ia tidak akan menyimpang daripada objektif tersebut. Sarawak adalah sebuah negeri pelbagai kaum di Malaysia.," katanya.
Parti itu kalah teruk dalam pilihanraya negeri itu baru-baru ini. Satu-satunya calon parti itu yang menang, telahpun memohon untuk menyertai SPDP dan menyokong BN.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.