Majlis Peguam menegaskan ia tidak akan membiarkan isu krisis kehakiman tahun 1988 "mati" begitu sahaja walaupun kabinet telah mebuat keputusan tidak akan menyemak semula kes pemecatan Tun Salleh Abas.

Beberapa pilihan sedang dipertimbangkan termasuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) Majlis Peguam bagi membincangkan usul menjalankan siasatan sendiri terhadap kes pemecatan bekas Ketua Hakim Negara itu.

Satu lagi alternatif ialah membuat petisyen kepada Yang Dipertuann Agong umtuk membuka semula kes tersebut.

Pengerusi majlis tersebut, Yeo Yang Poh memberitahu, perbincangan mengenai langkah-langkah susulan itu sedang dijalankan.

"Kami sedang menimbangkan langkah seterusnya tetapi masih terlalu awal untuk diumumkan sekarang,"ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Majlis Peguam pada 15 September lalu telah menyarankan krisis kehakiman yang membawa kepada pemecatan Salleh itu disemak semula. Sejak itu pelbagai kumpulan dan individu telah menyatakan sokongan terhadap saranan tersebut.

"Saya harap kerajaan akan mengubah keputrusannya," ujar Yeo.

Di bawah Akta Profesion Undang-undang, sekurang-kurangya 150 ahli Majlis Peguam mesti bersetuju untuk mengadakan EGM itu. Mesyuarat itu pula mesti mempunyai kuoram sekurang-kurang 500 orang. Majlis tersebut mempunyai keahilan kira-kira 12,000 ahli ketika ini.

Jika satu siasatan awam dijalankan, ia kemungkinan besar tidak dibuat mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan ini bermakna hasil siasatan tersebut tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan atau ikatan perundangan.

Pada tahun 1988 Majlis Peguam telah tampil membela sistem kehakiman negara dengan menyatakan ketidakpercayaan terhadap Hakim Tun Abdul Hamid Omar yang menggantikan Salleh.

Kesan daripada tindakan itu, hubungan Majlis Peguam dengan sistem kehakiman yang diterajui oleh Hamid terjejas teruk dan mengambil masa yang lama untuk dipulihkan.

Sementara itu dalam satu kenyataan lain,Yeo tidak bersetuju dengan alasan kabinet bahawa "mesti ada penutupan pada kes tersebut" lalu menolak keperluan untuk menyemaknya semula.

"Hujah "penutupan" hanya boleh digunapakai pada permintaan untuk membuka sesuatu kes yang dibuat oleh individu, tetapi dalam kes ini, masyarakat yang meminta kes itu dibuka semula. Jadi hujah tersebut tidak relevan," tegasnya.

Tambahan pula kata Yeo, apa yang berlaku pada tahun 1988 itu telah disifatkan oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa sebagai satu "krisis kehakiman".

"Ini dengan sendirinya menunjukkan bagaimana perlunya satu semakan semula perlu dilakukan terhadap kes berkenaan bagi menegakkan kebenaran,"ujarnya.

Yeo juga menegaskan, keperluan menyemak semula kes itu disokong oleh pengakuan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri bahawa beliau telah meminta Salleh meletakkan jawatan atau terpaksa menghadapi tribunal.

"Pengakuan Dr Mahathir itu jelas menunjukkan campurtangan eksekutif dalam sistem kehakiman,"ujarnya.

Beliau menambah, kini tiba giliran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menjawab semua persoalan yang timbul dari krisis pada tahun 1988 itu. Berita asal