mk-logo
Berita
PKPD di kuaters pekerja lombong Sg Batu, Raub mulai Jumaat
Diterbitkan:  May 12, 2021 8:12 PM
Dikemaskini: 12:12 PM

Kuarters Pekerja Lombong Sungai Batu, Batu Talam, Raub, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Jumaat ini hingga 27 Mei setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan terdapat kes baru Covid-19 melibatkan pekerja lombong warga India.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail berkata langkah itu membolehkan KKM menjalankan saringan awal serta mengesan kontak rapat untuk saringan dan pengasingan.

“Sehingga hari ini KKM telah melakukan ujian saringan melibatkan 50 pekerja dan setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan harian PKP, di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan PKPD Kampung Sagah, Jalan Sungai Tengah Matang, Kuching, Sarawak dan Kampung Skim Cocos, Kunak, Sabah ditamatkan Jumaat ini seperti yang dijadualkan.

KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala kes positif telah menerima rawatan, katanya.

PKPD di Sekolah Menengah Kebsngsaan Melugu, Sri Aman, Sarawak pula ditamatkan esok, juga seperti dijadualkan setelah KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster terkawal dengan lapan kes terakhir direkodkan pada 30 April lalu.

Dalam pada itu, seramai 236 individu telah ditahan semalam hasil 140,598 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan dengan 235 individu dikompaun manakala seorang lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis sebanyak 115 kes, tidak memakai pelitup muka (50), tiada penjarakan fizikal (16) dan lain-lain (55).

“Kerajaan juga telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya meningkatkan pemantauan pematuhan SOP di negeri dan kawasan hotspot yang dikenalpasti di bawah sistem Pengecaman Lokasi Panas Untuk Libat Urus Dinamik (HIDE),” katanya.

Dalam tempoh yang sama seramai tujuh pendatang asing tanpa izin ditahan dan sebuah kenderaan darat dirampas dalam Ops Benteng.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS