mk-logo
Berita
Polis siasat himpunan bakar suar, naik kain rentang 'kerajaan gagal'
Diterbitkan:  May 13, 2021 10:55 PM
Dikemaskini: 3:16 PM

Polis menyiasat kejadian perhimpunan, membakar suar dan menaikkan kain rentang bertulis 'Kerajaan Gagal' dalam kejadian di Parit Raja, Batu Pahat tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah memaklumkan menerima laporan hari ini mengenai rakaman video kejadian itu yang kini tular di media sosial.

"Pengadu juga mendapati perhimpunan tersebut tidak mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya pada satu kenyataan malam ini.

Ismail juga mengesahkan polis telah menerima beberapa panggilan telefon mulai jam 12.00 malam hingga 1.00 pagi tadi melaporkan aktiviti Mat Rempit di kawasan Parit Raja dan berjaya disuraikan.

"Sehingga kini pihak polis telah menangkap satu orang lelaki (21 tahun) yang dipercayai boleh membantu siasatan polis.

"Tindakan pencegahan dan penguatkuasaan akan dipertingkatkan di daerah Batu Pahat, khususnya kawasan Parit Raja," katanya lagi.

Ismail juga berkata kain rentang 'Kerajaan Gagal" itu dipercayai kain rentang sama yang digantung di Jejantas Jalan Parit Raja menghala ke Ayer Hitam, Batu Pahat.

"Beberapa anggota dari BP Parit Raja telah pergi ke lokasi dimaksudkan dan mendapati kain rentang tersebut telah diturunkan oleh orang awam," katanya.

Jelasnya lagi, kes disiasat bawah Seksyen 144/ 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Pihak polis menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut supaya tampil atau berhubung segera dengan Balai Polis Parit Raja di talian 07-4541222 ataupun IPD Batu Pahat ditalian 07-4363300.

 

Lihat Komen
ADS