mk-logo
Berita
‘Kerajaan Gagal’ - Polis tahan lelaki merusuh
Diterbitkan:  May 14, 2021 12:04 AM
Dikemaskini: 12:04 AM

Polis telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes insiden merusuh di Parit Raja, Batu Pahat yang tular dalam laman sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata lelaki tempatan berumur 21 tahun itu ditahan ketika dipanggil untuk memberi keterangan mengenai kejadian di Balai Polis Parit Raja, Batu Pahat, kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Katanya, sebelum itu, polis telah dimaklumkan oleh orang awam mengenai penemuan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ yang digantung di sebuah jejantas Jalan Parit Raja menuju ke Ayer Hitam pada jam 11.04 pagi semalam.

Ekoran daripada itu, beberapa anggota katanya telah pergi ke lokasi dimaksudkan dan mendapati kain rentang tersebut telah diturunkan oleh orang awam.

“Namun tidak lama selepas itu, polis menerima pula aduan tentang satu video perhimpunan, pembakaran suar dan kejadian menaikkan kain rentang yang tertulis ‘Kerajaan Gagal’ tanpa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan Parit Raja dan dipercayai kain yang dinaikkan semasa perhimpunan berkenaan adalah kain rentang sama yang digantung di jejantas berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau menambah polis juga menerima beberapa laporan yang memaklumkan terdapat aktiviti Mat Rempit di kawasan terbabit dari jam 12 tengah malam semalam hingga 1 pagi.

Oleh itu, katanya, polis akan mempertingkatkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan di daerah itu khususnya kawasan Parit Raja.

Dalam masa sama, pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu terbabit dan usaha untuk mengesan dan menahan mereka sedang dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 144/269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

- Bernama

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini