KATA MP l Selepas umum darurat, giliran k’jaan pula bantu rakyat
KATA MP l Perintah PKP 3.0 dari 12 Mei hingga 7 Jun yang disytiharkan kerajaan untuk mengatasi pandemik Covid-19 bagi menyelamatkan nyawa perlu diseimbangkan dengan usaha menolong rakyat yang menghadapi kedudukan kewangan mereka yang terjejas kesan PKP 1.0, PKP 2.0 dan kini PKP 3.0 dalam tempoh 14 bulan ini.
Saya, Hassan Abdul Karim, ahli parlimen yang mewakili kawasan Pasir Gudang yang majoriti penduduknya terdiri ratusan ribu kaum pekerja dan pengusaha kecil mencadangkan supaya kerajaan mengeluarkan perintah kepada bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan supaya melaksanakan secara automatik program moratorium menyeluruh susulan PKP 3.0 sekarang ini hingga akhir tahun ini.

Walaupun di bawah PKP 3.0 ini kebanyakan sektor ekonomi dibuka tetapi ada sektor ekonomi seperti pelancongan, taman-taman permainan (theme park), pengangkutan bas sekolah terjejas teruk. Pengusaha-pengusaha bas pelancongan dan bas-bas sekolah tidak mampu membayar pinjaman mereka di bank-bank atau di syarikat-syarikat kewangan.
Kerajaan melalui kabinet dan kuasa-kuasa di bawah Darurat dengan mudah tanpa dicabar kerana Parlimen digantung mengisytiharkan Perintah PKP. Rakyat patuh dan memberi kerjasama demi menyelamatkan nyawa dan mengelakkan malapetaka krisis kesihatan berlaku.
Kini sebagai balasan, giliran kerajaan pula membantu rakyat. Bukan menghapuskan hutang pinjaman, tetapi hanya menanguhkan pembayaran. Rakyat bawahan dan golongan sederhana menghadapi Darurat Ekonomi yang menekan mereka.

Langkah moratorium pinjaman tersebut mampu dilaksanakan oleh sektor perbankan. Laporan-laporan menunjukkan bank-bank telah membuat untung dan dijangkan meraih keuntungan berterusan sekarang ini, hatta berlaku Pandemik Covid-19.
Sebagai contoh, Public Bank Berhad telah memperolehi untung bersih bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021 melonjak sebanyak 15.1 peratus kepada RM1.53 bilion daripada RM1.33 bilion pada tahun lepas.
Langkah moratorium menyeluruh secara automatik ini secara praktis amat membantu golongan peniaga, kontraktor dan pengusaha kecil serta sederhana, para pekerja golangan kolar biru, rakyat kelas menengah dan B40 yang rata-rata ada yang hilang pekerjaan, hilang kontrak, kurang pendapatan, mengalamai kerugian dan diancam dengan kemungkinan gulung tikar atau tutup operasi.
Inilah masanya jika ingin membantu rakyat.
HASSAN ABDUL KARIM ialah ahli parlimen Pasir Gudang, Johor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

