Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bantahan ‘Kerajaan Gagal’ - Polis tahan reman 20 lelaki tempatan
Diterbitkan:  May 14, 2021 1:09 PM
Dikemaskini: 6:15 AM

Polis telah menangkap 20 orang yang dipercayai terlibat dengan kejadian merusuh termasuk mereka yang membuat, mengantung kain rentang dan membakar suar di Parit Raja, Batu Pahat yang tular dalam laman sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata rata-rata tangkapan berumur di antara 16 hingga 28 tahun dan merupakan penduduk setempat.

"Sehingga kini pihak polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas 20 orang.

“Semua mereka telah diperolehi perintah tahanan reman selama empat hari sehingga Isnin, 17 Mei,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata, semua mereka ditahan susulan operasi mengesan dan menangkap yang dijalankan polis sebaik sahaja maklumat diterima.

Hasil siasatan juga mendapati kejadian semalam berlaku pada lebih kurang jam 2.00 pagi di persimpangan Pekan Parit Raja di KM 22.5 Jalan Batu Pahat - Kluang.

“Kumpulan tersebut yang dianggarkan seramai 40 orang telah membuat halangan menggunakan motosikal dan kereta kepada penguna kenderaan yang malalui jalan berkenaan selama 15 minit bagi menarik perhatian mereka selain merentang kain rentang bertulis ' kerajaan Gagal' serta membakar suar dan mercun.

“Kain rentang yang sama juga telah dibawa dan digantung di jejantas di hadapan SJKC Kong Nan sejurus selepas kejadian,” katanya.

Menurut Ismail, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 144, 269, 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) serta juga Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.

Siasatan lanjut masih dijalankan, katanya lagi.

Malam semalam, polis memaklumkan bahawa seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.


Lihat Komen
ADS