Pemilihan Umno ditangguh sehingga selepas pilihanraya umum
Umno memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti itu yang dijadual diadakan pada tahun depan sehingga selepas pilihanraya umum akan datang.
Umno memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti itu yang dijadual diadakan pada tahun depan sehingga selepas pilihanraya umum akan datang.
Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini.
Menurut Abdullah, Umno menangguhkan pemilihan parti untuk membolehkan pemimpin parti itu menumpukan kepada usaha mencapai kemenangan dalam pilihanraya umum terlebih dahulu.
Bagaimanapun, Abdullah tidak pula menyatakan bila pilihanraya umum bakal diadakan. Pilihanraya umum lalu diadakan pada 21 Mac 2004 manakala pilihanraya umum akan datang perlu diadakan sebelum Mac 2009.
Menurut laporan Bernama, undang-undang negara menetapkan pilihanraya umum diadakan dalam tempoh lima tahun kecuali jika Parlimen dibubarkan lebih awal.
Menurutnya, keputusan parti menangguhkan pemilihan Umno sehingga selepas pilihan aya umum telah diamalkan sejak dua penggal lalu, di mana pemilihan parti diadakan hanya selepas pilihan aya umum 1999 dan 2004.
"Cara ini terbukti dapat memberi kebaikan kepada parti di mana parti boleh memberi perhatian sepenuhnya kepada pembangunan negara dan dalam melaksanakan projek-projek demi kepentingan rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur hari ini.
Ketika diaju soalan mengenai kenyataan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew tentang kaum Cina Malaysia, Perdana Menteri berkata, beliau telahpun menghantar surat kepada kerajaan republik itu bagi mendapatkan penjelasan.
Kenyataan LKY
"Sehingga kini belum mendapat jawapan," katanya.
Lee baru-baru ini dilaporkan berkata sikap Malaysia dan Indonesia terhadap Singapura dibentuk oleh cara layanan mereka terhadap etnik Cina minoriti di negara mereka sendiri.
Lee mendakwa Malaysia dan Indonesia mempunyai masalah dengan kaum Cina masing-masing kerana mereka berjaya dan bekerja kuat dan justeru secara sistematik mereka dipinggirkan.
Selepas mesyuarat tersebut, Abdullah meraikan kira-kira 2,000 anak yatim dari 21 buah rumah anak yatim Lembah Klang dalam satu majlis berbuka puasa di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Timbalan Presiden Umno serta para anggota Majlis Tertinggi Umno.

