Syarikat Warisan Business Solution (M) Sdn Bhd kini dalam keadaan terdesak dan serba-salah. Semuanya bermula selepas Istana Budaya menawarkan kontrak kerja penyelenggaraan pentas bernilai kira-kira 10 juta Julai lalu, untuk tempoh dua tahun.

Berikutan itu, kata Penolong Pengurus Operasinya, Abdul Razak Muda, syarikat berkenaan telah membuat persediaan untuk memulakan kerja, termasuk mendapatkan khidmat 12 pekerja mahir.

Bagaimanapun, pada 28 Julai, Istana Budaya telah mengeluarkan surat penangguhan kerja dengan alasan ianya dibuat atas arahan Kementerian Kewangan.

Berikutan itu, Abdul Razak berkata, syarikatnya telah menulis surat kepada Istana Budaya untuk mendapatkan penjelasan.

Pada 7 Ogos, katanya, Istana Budaya bersetuju memberi semula kontrak tersebut kepada Warisan Business Solution.

Bagaimanapun, katanya, Ketua Pengarah Istana Budaya, Azhar Abu Bakar telah membatalkan tawaran tersebut melalui sepucuk surat yang dihantar kepada Warisan Business Solution pada 18 Ogos.

"Pihak syarikat sudah membuat rayuan kepada Istana Budaya supaya memberi semula kontrak tersebut. Kami kerugian RM150,000 kerana telah membuat persiapan untuk memulakan kerja termasuk mendapatkan 12 pekerja mahir.

"Kini kami tidak tahu bagaimana hendak mengekalkan pekerja terbabit. Semuanya bergantung kepada rayuan tersebut," katanya ketika ditemui malaysiakini semalam.

Abdul Razak berkata, Istana Budaya memberi alasan pembatalan kontrak dibuat kerana pihaknya didakwa gagal mendapatkan khidmat seorang rakyat Australlia David Lie Diu sebagai jurutera tetap di syarikatnya.

Beliau mendakwa, alasan Istana Budaya itu amat mengelirukan kerana semasa tender dikemukakan, pihak Istana Budaya bersetuju untuk menggantikan David dengan orang lain.

Malah, katanya, dalam tawaran awal kepada Istana Budaya, pihaknya menamakan seorang pakar dari Britain yang dibawa syarikat tersebut, yang bersetuju untuk memindahkan teknologi berkaitan kepada jurutera tempatan.

"Jika Istana Budaya tidak setuju dengan tawaran tersebut mengapa mereka menwarkan kontrak terhadap kepada syarikat kami.

"Saya mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena...mengapa mereka berkeras mahukan khidmat David sedangkan beliau tidak mahu berkhidmat dengan Warisan Business yang mendapat kontrak tersebut.

"Sepatutnya Istana Budaya boleh mengarahkan David bekerja dengan Warisan Business dan bukannya David sendiri yang menentukan majikan," katanya lagi.

Warisan Business Solution, tambahnya, mempunyai pengalaman luas dalam kerja-kerja penyelenggaraan pentas dan syarikat itu beroperasi di Ampang, Selangor.

Abdul Razak mendakwa, pihaknya cuba mendapatkan penjelasan mengenai pembatalan kontrak tersebut dari pengurusan Istana Budaya dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan tetapi tidak berjaya.

Katanya, beliau juga cuba untuk berjumpa dengan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim tetapi gagal.

"Ketua Pengarah Istana Budaya dan pegawai kanan kementerian mendakwa mereka tidak boleh membuat apa-apa dan meminta saya menemui Datuk Seri Rais Yatim untuk menyelesaikannya," katanya lagi.

Abdul Razak berkata, pihaknya juga sudah mendapatkan nasihat peguam mengenai perkara tersebut kerana didakwa membatalkan kontrak kerja-kerja penyelenggaraan pentas tanpa alasan yang munasabah.

Bagaimanapun, katanya, tindakan undang-undang hanya akan dibuat jika Istana Budaya enggan memberikan semula kontrak tersebut kepada Warisan Business Solution.

Menurutnya lagi, pihaknya telah meminta bantuan Ahli Parlimen Kota Melaka, Datuk Idris Haron untuk membangkitkan perkara tersebut dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Idris ketika dihubungi berkata, beliau kesal dengan sikap Istana Budaya yang seperti mempermain-mainkan syarikat bumiputera yang mendapat kontrak tersebut.

"Saya mahu pihak tertentu menjalankan siasatan adakah apa yang dibuat oleh Istana Budaya itu telus atau sebaliknya," katanya.

Usaha malaysiakini menghubungi Azhar semalam untuk mendapatkan komen beliau mengenai perkara tersebut kerana beliau dikatakan sedang bermesyuarat dengan kakitangannya.