Kit Siang: Bagaimana EPU boleh tersilap beri peruntukan?
Bagaimanakah Unit Perancang Ekonomi (EPU) boleh 'tersilap' memperuntukkan RM795 juta kepada negeri Perak untuk projek landasan berkembar yang telah dibatalkan?
Bagaimanakah Unit Perancang Ekonomi (EPU) boleh 'tersilap' memperuntukkan RM795 juta kepada negeri Perak untuk projek landasan berkembar yang telah dibatalkan?
Jika kesilapan seumpama itu berlaku, maka pemimpin DAP, Lim Kit Siang tertanya-tanya sama ada terdapat lagi kesilapan lain dalam peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
Ketua Pembangkang itu mengulas laporan akhbar Ahad lalu bahawa Perak memperolehi peruntukan yang merupakan sebahagian daripada projek landasan berkembar elektrik bernilai RM4.6 juta antara Rawang (Selangor) dan Ipoh.
Pada bulan Mei 2005, kerajaan telah membatalkan kontrak tersebut yang diberikan kepada DRB-Hicom pada bulan Julai 2000 untuk membina projek landasan sepanjang 180 kilometer itu.
Baki kerja di bawah kontrak tersebut akan diberikan kepada kumpulan lain, tetapi kerajaan tidak menamakan kontraktor tersebut.
"Mungkin mereka (EPU) telah membuat kesilapan," kata Menteri Besar Perak, Datuk Mohd Tajol Rosli Ghazali dalam satu majlis di Batu Kurau hujung minggu lalu.
Tajol berkata, beliau bercadang menggunakan peruntukan tersebut untuk membina persimpangan baru di Alor Pongsu.
Ketelusan
Menurut Lim lagi, 'kesilapan' itu tidak memberi gambaran yang baik tentang kualiti kerja EPU "dalam perancangan lima tahunnya".
Bagaimanapun, katanya, ini tidak bermakna yang Perak tidak memerlukan peruntukan seumpama itu.
"Saya pasti mesti terdapat pertimbangan makro bagi peruntukan dana tersebut," katanya.
Pemimpin pembangkang itu menggesa pihak berkuasa negeri dan pusat supaya memastikan peruntukan seumpama itu dibuat secara telus.
"Ia (peruntukan itu) mestilah digunakan dengan baik untuk pembangunan Perak dalam tempoh lima tahun akan datang. Ia tidak sepatutnya diputuskan oleh MB (Tajol) sahaja tetapi hendak mengikut proses sepatutnya demi faedah negeri itu.
"Ia perlu menjadi sebahagian daripada proses penyertaan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri," tambahnya.
Ketika dihubungi, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, peruntukan tersebut adalah untuk projek tertentu di negeri ini dan tidak semestinya dalam budibicara kerajaan negeri.
"Anda tidak boleh mendakwa projek itu untuk anda dan oleh itu (peruntukan itu) mesti dibelanjakan...Ia bukan satu peruntukan untuk negeri berkenaan, ia adala peruntukan untuk projek landasan keretapi.
"Ia bukan peruntukan untuk negeri itu, (tetapi) peruntukan untuk projek di negeri tersebut. Ia adalah dua perkara yang berbeza. Peruntukan itu adalah untuk Kementerian Pengangkutan," tambahnya.
Oleh itu, katanya, kementerian berkenaan berhak memutuskan sama ada untuk menggunakannya di Perak atau di tempat lain.
Bagaimanapun, Shahrir berkata, Tajol masih boleh mencuba dan berusaha supaya peruntukan tersebut digunakan untuk melaksanakan projek lain di Perak. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.