Bekas setiausaha Umno bahagian Cheras, Abd Zarin Mohd Yassin yang dipecat dari Umno semalam, berikrar tidak akan berdiam diri, tetapi akan berusaha keras untuk menjatuhkan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi walaupun jika terpaksa berkerjasama dengan pembangkang.

Katanya, beliau tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk memecatnya. Sebaliknya beliau akan hanya memohon menyertai semula Umno jika Abdullah tidak lagi menjadi presiden parti itu.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Abd Zarin dipecat daripada Umno kerana menulis artikel dalam blognya Sang Kelembai yang mengkritik kepimpinan parti.

Perdana Menteri berkata MT yang bermesyuarat semalam, membuat keputusan sebulat suara memecat Zarin selepas meneliti laporan Jawatankuasa Pengurusan dan Lembaga Disiplin Umno.

Manakala Setiausaha Agung Umno, Datuk Radzi Sheikh Ahmad berkata, lembaga disiplin mencadangkan Abd Zarin digantung keahliannya tetapi "pucuk pimpinan bertindak tegas kerana mahu memberi isyarat kepada semua orang."

"MT memandang serius kesalahan yang dibuat oleh Zaharin dan memutuskan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat iaitu memecat beliau," kata Radzi.

Sementara itu, dalam kenyataan media yang disiarkan dalam blognya hari ini, Abd Zarin yang telah menjadi ahli Umno sejak tiga dekad lalu berkata, beliau menerima pemecatan tersebut dengan hati terbuka dan menganggapnya satu rahmat kerana ia menyekatnya dari terus menyokong organisasi yang dipimpin oleh seorang presiden yang dianggapnya "cenderung kepada sifat -sifat seorang "munafik".

Tegur pemimpin

Katanya lagi, pemecatan itu membebaskannya dari ikatan Perlembagan Umno 'bentuk baru', yang menyekat ruang untuk mengkritik dan menegur pemimpin satu perkara yang menurutnya, berlawanan dengan prinsip Islam Hadhari.

"Pemecatan saya juga membuktikan bahawa pemimpin Umno tidak boleh dikritik atau ditegur dan perbuatan mengkritik kepimpinan khususnya dalam konteks ini "mengkritik Perdana Menteri " merupakan satu dosa besar dalam parti,"tambahnya.

Menurut beliau lagi, penyingkirkan seorang Perdana Menteri bukan perkara baru kerana ia pernah berlaku dalam pilihanraya 1969.

Oleh itu, katanya adalah tidak mustahil dalam pilihararaya akan datang, rakyat Malaysia yang terdiri dari orang Melayu, Cina, India dan etnik lain akan mengundi parti pembangkang.

Ini adalah kali kedua Abdu Zahrin dipecat sebagai ahli Umno. Pada tahun 1996 beliau dipecat kerana menulis berapa surat terbuka mengkritik Timbalan Presiden Umno ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau diterima semula dalam Umno selepas Anwar dipecat oleh Majlis Tertinggi Umno pada tahun 1998.