Golongan bukan Melayu, terutama kaum India dipinggirkan dan terdedah kepada dasar-dasar yang berunsur diskriminasi, kata Naib Ketua Pemuda Gerakan, S Paranjothy.

Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan masyarakat India di sini menjadi sama seperti kaum kulit hitam di Amerika Syarikat.

Dalam satu kenyataan yang dianggap keras hari ini, beliau mendakwa, kerajaan tidak berminat untuk membantu masyarakat India walaupun majoritinya serba kekurangan, antaranya, akibat dasar-dasar yang berunsur diskriminasi.

Pemimpin Gerakan itu yang merupakan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) mengulas mengenai kritikan hebat terhadap Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew yang mendakwa masyarakat Cina di Malaysia telah dipinggirkan.

Antara yang paling hebat mengecam Lee ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa supaya dijalankan siasatan bebas mengenai mengapa orang Melayu di Singapura terpinggir.

Bagaimanapun, Paranjothy berkata, kerajaan perlu mengadakan sisatan bebas untuk mengetahui mengapa masyarakat India di sini "telah dipinggirkan dan tidak diperdulikan".

Menurutnya lagi, pemberian biasiswa, tempat di universiti serta pinjaman perniagaan begitu sukar untuk diperolehi oleh masyarakat tersebut.

"Masyarakat India ditekan, dipinggirkan, ditindas dan tidak dipedulikan. Di segi ekonomi, mereka merupakan kumpulan yang paling tidak dipedulikan di Malaysia.

"Adalah tidak mengejutkan apabila statistik mengenai pembabitkan masyarakat India yang begitu tinggi dalam jenayah keganasan. Masyarakat India di sini telah menjadi seperti kaum kulit hitam Amerika," tambahnya.

Peluang sama rata?

Paranjothy berkata, walaupun Singapura juga perlu melihat nasib kaum minoriti di republik itu yang "terpinggir dan tertindas", tetapi beliau menegaskan bahawa keadaan di Malaysia juga tidak sebaik mana.

"Realitinya, apakah golongan bukan Melayu diberi peluang yang sama rata di Malaysia? Pada zahirnya, semua kelihatan adil tetapi pada realitinya terdapat ketidaksamaan dan peminggiran yang berlaku di negara kita sendiri," tambahnya.

Paranjothy turut menyentuh Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menurutnya, kini dianggap sebabai 'Never Ending Policy' (Dasar yang tiada penghujungnya) untuk mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera.

"DEB adalah untuk tempoh masa 30 tahun mulai tahun 1970, tetapi permintaan dibuat oleh Pemuda Umno supaya ianya dilanjut sehingga tahun 2020...

"Untuk membolehkan bumiputera mencapai sasaran tersebut, kaum-kaum lain tidak mendapat hak mereka untuk terus maju," katanya.

Paranjothy menyebut beberapa bidang yang didakwanya berlaku diskriminasi yang jelas terhadap bukan Melayu:

* Pengambilan pelajar Institusi Pengajian Tinggi, kuota ditetapkan untuk kursus-kursus kritikal (profesional) di mana kurang bumiputera. Biasiswa kerajaan tidak diberi mengikut merit.

* Bukan Melayu tidak menikmati kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam yang didominasi oleh orang Melayu. Bukan Melayu tidak diberi peluang untuk memegang jawatan tinggi dalam badan-badan kerajaan seperti dalam tentera, polis dan perkhidmatan awam.

* Tiada kebebasan bersuara dan beragama mengikut Perlembagaan Persekutuan.

* Isu-isu mengenai agama dan kaum dianggap sensitif kerana tiada ruang untuk perbincangan yang rasional dan terbuka.

* Ugutan terhadap Ahli Parlimen Kelana Jaya (Loh Seng Kok dari MCA), bantahan terhadap Artikel 11 and Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan, memberi kata-dua dan cuba menjatuhkan kerajaan negeri (Pulau Pinang) yang dipimpin oleh Ketua Menteri bukan Melayu (Timbalan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Khoon).

* Kenyataan dan keputusan yang dibuat oleh wakil rakyat Melayu kebelakangan ini, berunsur diskriminasi dan berbau berkauman.

* Terdapat dakwaan berlaku diskriminasi dan pilih kasih dalam pemilihan atlit dan ahli sukan untuk mewakili negara.

Ketika dihubungi kemudiannya, Paranjothy berkata pandangannya itu tidak mencerminkan pendirian partinya. Pucuk pimpinan Gerakan telah mengecam hebat kenyataan yang dibuat oleh menteri mentor Singapura itu. Berita asal