Zam: LKY yang hapuskan kebudayaan Cina di Spura
Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin mendakwa bahawa Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mempunyai motif terselindung apabila menuduh Malaysia meminggirkan masyarakat Cina sedangkan beliau sendiri telah menghapuskan kebudayaan Cina di negaranya sendiri.
Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin mendakwa bahawa Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mempunyai motif terselindung apabila menuduh Malaysia meminggirkan masyarakat Cina sedangkan beliau sendiri telah menghapuskan kebudayaan Cina di negaranya sendiri.
Menurutnya, Lee telah menghapuskan secara sistematik kebudayaan Cina serta menutup Universiti Nanyang dan Kolej Ngee Ann.
"Saya fikir beliau mahu menakutkan kaum Cina, membuatkan mereka merasa bahawa kekayaan yang mereka perolehi tidak akan selamat di rantau ini," katanya kepada pemberita selepas melawat agensi berita Xinhua di sini.
Zainuddin tiba di Beijing semalam untuk lawatan kerja tiga hari.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, Malaysia tidak pernah meminggirkan masyarakat Cina walaupun ada peluang untuk berbuat demikian selepas insiden 13 Mei 1969.
"Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman, menolak tanggapan seperti itu. Kita juga tidak pernah merampas sebarang hartanah kepunyaan masyarakat Cina," katanya.
"Bahkan, kita memperluaskan penyertaan mereka dalam kerajaan dengan membesarkan Perikatan bagi menubuhkan Barisan Nasional," katanya.
Ubah identiti
Hari ini, Malaysia mempunyai lebih banyak sekolah Cina berbanding Singapura dan pengedaran akhbar terbesar negara adalah akhbar berbahasa Cina.
"Lee Kuan Yew sebaliknya telah menghapuskan secara sistematik kebudayaan Cina, dengan tidak membenarkan banyak amalan Cina. Beliau juga menutup Universiti Nanyang dan Kolej Ngee Ann," katanya.
Zainuddin berkata Menteri Mentor Singapura itu patut diucapkan tahniah kerana telah mengubah identiti masyarakat Cina di republik itu sehinggakan ia sudah tidak dikenali.
Beliau menggesa akhbar Cina di Malaysia supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan Lee itu sehingga menggembar-gemburkan cauvinisme Cina dan mengancam keharmonian kaum di Malaysia.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.