Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

ULASAN | Malaysia perlu bersuara lantang bersama negara-negara miskin lain yang tidak mendapat bekalan vaksin mencukupi.

Tujuh negara terkaya di dunia iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Perancis, Jerman, Itali dan Jepun memonopoli vaksin yang telah dihasilkan. Ini didedahkan oleh Pengarah Unicef, Henrietta Fore. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) perlu bertindak demi keselamatan umat manusia.

Hampir semua tujuh negara terkaya di dunia itu, punya rekod jahat sebagai kuasa kolonial yang menjajah negara-negara miskin di Asia, Afrika, dan Amerika Selatan. Sampai sekarang, walaupun telah merdeka, kebanyakan negara bekas tanah jajahan itu masih mundur dan miskin setelah kekayaan negara mereka dipunggah ke negara-negara terkaya di dunia itu.

Fenomena ini tidak adil. Malaysia sendiri sampai sekarang tidak mendapat bekalan vaksin yang mencukupi untuk rakyatnya. Menurut Unicef, tujuh negara terkaya itu berupaya kalau mereka jujur dan bertimbang rasa untuk menyumbang lebih daripada 150 juta dos vaksin kepada negera-negera yang amat memerlukan.

Selain India, negara-negara seperti Nepal, Sri Lanka, Maldives, Argentina, Brazil dan Malaysia juga perlu dibantu.

Sidang kemuncak G7 pada 2017

Dalam kes Malaysia, kita mampu membayar harga vaksin itu. Malaysia bukan negara peminta sedekah. Malaysia tidak minta vaksin secara percuma. Soalnya di manakah stok vaksin itu disembunyikan sekarang? Celaka sungguh negara-negara terkaya yang berfikiran imperialis ini.

Amerika Syarikat yang kononnya juara demokrasi dan Free World menyimpan berjuta-juta vaksin AstraZeneca. Menurut Unicef lagi, Amerika Syarikat mampu menderma 60 juta dos vaksin AstraZeneca itu, kalau ia mahu berbuat demikian.

Ia tidak akan menjejaskan program vaksinasi untuk rakyatnya. Tetapi, Amerika Syarikat hanya akan berbuat demikian jika ia dapat memenuhi strategi geopolitiknya yang bersikap penjajah.

Malaysia, sebuah negara berdaulat yang menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu bersuara di pentas dunia antarabangsa. Setakat ini kira-kira 44 peratus daripada 1.4 bilion dos vaksin Covid-19 yang telah disuntik di seluruh dunia adalah di kalangan penduduk di negara-negara kaya sahaja.

Penduduk di negara kaya tersebut hanya merangkumi 16 peratus daripada penduduk dunia. Ini statistik dari Unicef juga.

Adakah ini adil? Rakyat Malaysia masih berada di fasa pertama program vaksinasi. Berjuta-juta orang, tua dan muda masih menunggu-nunggu.

Dunia yang tidak adil. Hanya 0.3 peratus rakyat di 29 negara termiskin di dunia yang didiami oleh 9 peratus penduduk dunia telah menerima suntikan vaksin. Tak sampai 1 peratus pun.

Keadaan di Malaysia mungkin lebih baik sedikit berbanding dengan 29 negara-negara miskin dan mundur ini. Tetapi Malaysia mesti bersuara. Kerajaan Malaysia tidak boleh berdiam diri sahaja. Pada Jun depan, tujuh negara terkaya ini akan bermesyuarat di sidang kemuncak mereka di United Kingdom. Biarlah mereka mendengar suara kita.

"Dasar Aparteid" tujuh negara terkaya dunia ini dalam soal agihan vaksin perlu ditelanjangi. Jika Malaysia menjadi juara menentang dasar Aparteid di Afirika Selatan lebih 50 tahun lalu, kini kita menutut kerajaan Mbersuara lantang di pentas antarabangsa dalam soal keadilan bekalan vaksin untuk penduduk dunia.

Bersenyap-senyap diri, bukanlah suatu pilihan.


HASSAN ABDUL KARIM ialah ahli parlimen Pasir Gudang, Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS