Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan Selangor perlu bertindak segera dengan cuba mendapatkan sendiri vaksin tanpa melalui kerajaan pusat kerana memang sejak awal menjangkakan program vaksinasi dikendalikan sekarang mengambil masa lama.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud berkata dalam keadaan sekarang juga pihak industri tidak lagi dapat menunggu lebih lama bagi membolehkan pekerja mereka diberikan vaksin.

“Bagi rakyat di negeri Selangor, kita galakkan (mendaftar) dengan MySejahtera untuk dapatkan vaksin percuma, tapi (pihak) industri sudah bagitahu kepada kita (kerajaan negeri), mereka tak boleh tunggu lama sangat untuk dapatkan vaksin itu.

“Sebab tu kita perlu dapatkan vaksin sendiri,” katanya pada sidang media bersama bekas menteri kesihatan Dzulkefli Ahmad di Shah Alam hari ini.

Ia turut disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Semalam media melaporkan majikan sektor perindustrian di Selangor kini dibenarkan membeli sendiri vaksin Covid-19 untuk dibekalkan kepada pekerja mereka sebagai salah satu inisiatif kerajaan negeri mengekang penularan wabak Covid-19.

Syarikat-syarikat berkenaan boleh berdaftar untuk mendapatkan vaksin tersebut melalui aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat).

Menurut Siti Mariah, sekiranya kerajaan negeri menunggu vaksin percuma melalui Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), ia akan melumpuhkan ekonomi kerajaan negeri.

“Selangor perlu beri perhatian kepada kumpulan yang sangat (penting)crucial kepada negeri iaitu kumpulan pekerja kerana semua tahu negeri ini sangat bergantung kepada kilang-kilang dan industri,” katanya.

MB Selangor akan umumkan

Kata Adun Seri Serdang itu lagi, setakat ini lebih sejuta pekerja kilang telah didaftarkan oleh syarikat masing-masing untuk diberikan vaksin berkenaan.

Bagaimanapun, katanya dia belum mendapatkan statistik sebenar jumlah syarikat serta kilang-kilang yang berminat untuk program tersebut.

Katanya sektor perindustrian sanggup membelanjakan wang mereka sendiri untuk membeli vaksin tersebut kerana ia lebih menjimatkan berbanding kos yang akan ditanggung jika perkeja mereka dijangkiti wabak tersebut.

Apabila ada kes dikesan, kata Siti Mariah, pihak kilang terpaksa menutup operasi selain menjalankan ujian saringan ke atas semua pekerja dan ia membabitkan kerugian yang lebih besar.

Pada masa sama katanya kelewatan pelaksanaan vaksinasi sekarang juga menjejaskan langkah melindungi golongan rentan seperti warga emas

“Sebab tu kita nak buat program seperti ini,” katanya.

Tambahnya, vaksin yang akan diberikan itu adalah sama seperti yang diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) iaitu sama ada yang diluluskan oleh iaitu vaksin Pfizer-bioNTech, Sinovac atau AstraZeneca.

Kata Siti Mariah butiran lanjut mengenai program vaksinasi yang dijangka dilaksanakan pada Jun itu akan diumumkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari tidak lama lagi.

Menurut Siti Mariah lagi keutamaan turut diberikan kepada kilang-kilang kecil dan perusahaan kecil sederhana yang tidak mampu dan ia akan diberikan secara percuma.

Selain itu katanya kerajaan negeri juga meletakkan golongan berisiko tinggi seperti warga emas yang berpenyakit, orang kelainan upaya dan Orang Asli sebagai keutamaan.

Lihat Komen
ADS