Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita dakwa dirogol rakan Adun Gombak Setia serah bukti baru

Seorang wanita yang mengaku menjadi mangsa rogol kepada dua rakan Adun Gombak Setia, Hilman Idham, hari ini menyerahkan bukti tambahan kepada polis bagi menyokong dakwaannya.

Peguam Asheeq Ali berkata bukti itu diserahkan wanita terbabit kepada pihak berkuasa di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pagi tadi dan berada di situ kira-kira sejam.

"Kami memberikan kerjasama penuh kepada polis dan melihat kepada betapa seriusnya dakwaan yang dibuat, kami berharap siasatan dapat diselesaikan segera," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini wanita berkenaan medakwa Hilman terbabit merancang insiden yang berlaku pada 5 Dis 2020 dan ia dirujuk kepada polis pada 8 Mei lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Kassim mengesahkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu kerana kesalahan rogol.

Pada masa itu, Azmi berkata mangsa menarik balik laporan awalnya tiga hari selepas ia dibuat (8 Dis), namun kira-kira sebulan kemudian dia memohon kepada polis agar siasatan diteruskan. 

Menurut laporan pertama yang dibuat kepada polis wanita itu mendakwa Hilman menjemputnya ke sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 4 Dis 2020 untuk meraikan ulang tahun kelahirannya.

Menyertai mereka ialah seorang kenalan Hilman dan dua wanita lain.

Kata mangsa, ahli politik PKR yang kini menyertai Bersatu itu menyertai mereka di sebuah bilik karaoke selepas makan malam dan mereka kemudian mabuk.

Dalam laporan keduanya, mangsa berkata dia dimaklumkan oleh salah seorang rakan perempuan yang hadir pada malam kejadian bahawa makan malam dan sesi karaoke itu dikatakan merupakan satu “set-up” (perancangan) Hilman.

Justeru kata wanita berkenaan dia menulis kepada polis pada 12 Jan untuk meminta kes itu dibuka semula. 

Sebelum ini sudah dua kali wanita berkenaan dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis. Pada 11 Mei lalu dia hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk menyerahkan bukti mengenai dakwaan gangguan yang diterimanya agar menarik balik aduan yang dibuat pada 5 Dis.

Kata Asheeq hari ini mereka bertanya mengenai status siasatan ke atas Hilman termasuk bila dia akan dipanggil memberi keterangan namun polis memaklumkan mereka tidak boleh memberitahu maklumat tersebut.

"Polis kata mereka tak boleh mendedahkannya kerana ia masih disiasat," katanya.

Hilman setakat ini belum memberikan sebarang kenyataan selepas beberapa kali diminta komennya. 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS