Mohd Najib dilantik Timbalan KPN
Pengarah Narkotik Bukit Aman Datuk Mohd Najib Abdul Aziz dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baru, berkuatkuasa Khamis lalu.
Pengarah Narkotik Bukit Aman Datuk Mohd Najib Abdul Aziz dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baru, berkuatkuasa Khamis lalu.
Mohd Najib, 55, dilantik memegang jawatan itu menggantikan Tan Sri Musa Hassan yang kini memegang jawatan Ketua Polis Negara sejak 12 September lalu.
Perlantikannya itu diumumkan dalam satu kenyataan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
"Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi setelah diperakukan Suruhanjaya Pasukan Polis telah berkenan melantik Datuk Mohd Najib Abdul Aziz," katanya.
Abdul Aziz berkata, Mohd Najib dilantik pada 28 September dan seterusnya dilantik secara kontrak selepas bersara selama satu tahun mulai 14 November 2006.
Berpengalaman luas
Menurut laporan Bernama, beliau yang dilahirkan pada 13 November 1950 di Sabak Bernam, Selangor, memulakan perkhidmatannya sebagai inspektor polis pada 11 Nov 1969.
Mohd Najib yang berkelulusan Ijazah Sains Sosial, pernah menjadi Pegawai Bahagian Pencegah Maksiat dan Judi Jenayah Pulau Pinang (1970), Pegawai Penyiasat Jenayah Georgetown (1972), Penjaga Jenayah B Georgetown (1973) dan Pegawai Penyiasat Trafik Georgetown (1975).
Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan Pegawai Turus Luar Georgetown (1978), Asp Fizikal Bukit Aman (1982), DSP Analisa Jenayah Bukit Aman (1983), Ketua Polis Daerah Manjung, Perak (1989), Penolong Pengarah Risikan Jenayah Bukit Aman (1995) dan Timbalan Pengarah III Narkotik Bukit Aman (1997).
Beliau kemudian dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah II Narkotik Bukit Aman (1998), Ketua Polis Negeri Kelantan (2002) dan Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman (2004).


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.