Walaupun berdepan dengan kemungkinan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftarannya, puak yang menyokong Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr James Masing telah mengumumkan bahawa persidangan perwakilan (TDC) parti itu akan diadakan pada 2 Disember depan.

Pengumuman itu dibuat oleh Naib Presiden PRS, Joseph Entulu Beluan, selaku pengerusi penganjuran TDC. Manakala seorang lagi naib presiden Dublin Unting akan dilantik sebagai pengerusi pemilihan.

Wilfred Nissom pula akan dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa kelayakan. Nisom dilantik sebagai setiausaha agung selepas Masing memecat Sidi Munan daripada jawatan tersebut Mei lalu, bersama lima orang lagi penjawat parti.

Entulu berkata, notis mengenainya telah dihantar kepada kesemua 28 bahagian yang berdaftar, meminta mereka mengadakan mesyuarat agung masing-masing. Setiap bahagian hanya perlu menghantar lima orang perwakilan ke TDC.

'Tindakan sengaja'

Sementara, puak yang tidak sehaluan Masing yang dipimpin oleh Timbalan Presiden Datuk Sng Chee Hua, dalam reaksi mereka, berkata tindakan puak Masing itu akhirnya akan membawa 'kemusnahan' kepada parti tersebut.

"Jika mereka meneruskan rancangan untuk mengadakan TDC, ia boleh dianggap sebagai tindakan yang disengajakan dan secara terang-terang mahukan pendaftaran parti itu dibatalkan," katanya dalam satu kenyataan bersama dengan Ahli Parlimen Sri Aman, Jimmy Donald.

Menurut kenyataan itu lagi, sepatutnya parti itu menunggu respons daripada ROS terhadap jawapan yang dikemukakan oleh parti baru-baru ini.

ROS telah menghantar surat tunjuk sebab mengapa parti yang dilanda krisis kepimpinan itu tidak boleh dibatalkan pendaftarannya selepas pemecatan Sng dan lima orang lagi didapati bertentangan dengan perlembagaan parti.

"Masing dan puaknya tidak sepatutnya mengambil tindakan sedemikian. Sekurang-kurangnya mereka hendaklah menghormati ROS," tambahnya.

ROS dijangka membuat keputusan terhadap jawapan dari parti itu pada 7 Oktober depan.

Menurut mereka lagi, keputusan mengadakan TDC itu adalah tidak sah kerana notis untuk majlis tertinggi parti di mana keputusan itu telah dibuat, tidak ditandatangani oleh Sidi, yang masih diiktiraf oleh ROS sebagai setiausaha agung parti itu. Berita asal