Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang meramalkan bahawa pilihanraya umum yang ke-12 kemungkinan besar diadakan dalam tempoh sepuluh hingga 18 bulan lagi.

Katanya, ini berikutan keputusan Umno untuk menangguhkan pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung tahun depan bagi memilih barisan kepimpinan parti itu.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno menangguhkan pemilihan parti itu, memberi isyarat bahawa pilihanraya umum semakin hampir.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa mesyuarat MT memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas pilihanraya umum akan datang.

Malah, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin juga dilaporkan meminta ahli-ahli parti itu supaya bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang semakin dekat.

Menurut Lim lagi, Umno pernah dua kali menangguhkan pemilihannya sebelum ini sehingga selepas pilihanraya umum bagi mengelak kempen yang boleh mengakibatkan perpecahan dalam parti itu.

Bagaimanapun, kata Lim, penangguhan kali ini akan dibaca sebagai satu kelemahan dan bukannya satu kekuatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden Umno.

'Halangan besar'

Katanya, ini kerana jika pemilihan Umno diadakan tahun depan, Abdullah mungkin dicabar bagi jawatan Presiden Umno walaupun wujud 'halangan besar' bagi calon lain untuk mendapatkan pencalonan bagi jawatan tersebut.

Menurutnya, jika Abdullah dicabar bagi jawatan tersebut, pertandingannya akan lebih sengit daripada pertembungan antara Mahathir-Ghafar melawan Razaleigh-Musa dalam pemilihan parti pada 1987.

Dalam pemilihan tersebut, Tun Dr Mahathir Mohamad dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan Presiden Umno manakala Tun Ghafar Baba dan Tun Musa Hitam bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden.

Walaupun Dr Mahathir dan Ghafar memenangi jawatan masing-masing, tetapi ia telah membawa perpecahan dalam Umno. Malah parti itu telah diisytiharkan sebagai haram oleh mahkamah.

Berikutan itu, Tengku Razaleigh menubuhkan parti serpihan Umno Semangat 46 (S46), sempena tahun penubuhan Umno manakala Dr Mahathir pula menubuhkan Umno baru. Bagaimanapun, Tengku Razaleigh telah membubarkan S46 dan menyertai Umno baru.

Menurut Lim lagi, ekoran penangguhan tersebut, Abdullah kini mampu menjalankan 'kerja-kerja pembersihan' dalam parti sebagai persediaan menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.

Ini, menurut Lim, mungkin termasuk menggugurkan wakil rakyat Umno yang tidak sehaluan dengannya sama ada di peringkat Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri.