Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Teras Pengupayaan Melayu mempersoalkan tujuan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) mengeluarkan kenyataan yang mendakwa bahawa kaum bumiputera sudah mencapai ekuiti ekonomi melebih sasaran dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ini kerana pada realitinya di peringkat kehidupan nyata, dapat dilihat kedudukannya yang jauh berbeza.

Beliau mengulas laporan mengenai kajian Asli bertajuk Pengagihan Ekuiti Korporat Arah Aliran Lalu dan Polisi Masadepan yang mendakwa kaum bumiputera sudah mencapai ekuiti ekonomi dalam negara sehingga 45 peratus melebihi sasaran 30 peratus yang ditetapkan dalam DEB.

"Lihat sahaja di mana-mana bandar utama di negara ini betapa premis perniagaan utama sangat sedikit dimiliki oleh pengusaha Melayu. Malah di kawasan perusahaan termasuk kawasan perkilangan IKS boleh dikira berapa yang dimiliki oleh kaum Melayu," tegas Mohd Azmi.

"Kenyataannya ialah pemilikan bangunan komersial dan premis jauh dari seimbang Bumipitera 11.7 peratus, Cina 71.9 peratus dan India 4.6 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majoriti besar Bumiputera di kawasan bandar, katanya, tinggal dalam rumah flat dengan keluasan 500 kaki persegi yang menjadi salah satu penyebab utama gejala sosial.

"Bukankah sudah menjadi suatu kenyataan betapa insiden kemiskinan masih ramai berlaku di kalangan kaum bumiputera . Perhatikan data insiden kemiskinan tegar Bumiputera (1.9%) , Cina (0.1%) dan India (0.3%).

"Dan jika diteliti kemiskinan keseluruhan, realitinya ialah Bumiputera 8.3 peratus ,Cina (0.6 %) dan India (2.9%) . Umum tahu betapa kemiskinan tegar ini masih wujud dikalangan orang Melayu dan ini menandakan betapa kekayaan di negara ini tidak teragih secara adil di kalangan kaum," tambah Mohd Azmi.

Menurutnya lagi, purata pendapatan kasar bulanan isi rumah juga mendedahkan kenyataan yang tidak memuaskan, iaitu Bumiputera RM2,522, India (RM3,215) dan Cina (RM4,127).

Perjawatan di sektor awam

"Jika diperhatikan pula dalam perjawatan di sektor swasta untuk pangkat pegawai kanan dan pengurus , kenyataannya memberikan gambaran yang berbeza lagi dengan kedudukan yang cuba di bayangkan oleh Asli bumiputera 37.1%, Cina (55.1%) dan India (7.1%).

"Pecahan bumiputera dalam kategori profesional (tidak termasuk pensyarah, guru, penulis dan artis) adalah 47.5 peratus pada 2005 berbanding dengan 77.6 peratus di kalangan orang Cina dan 69.2 peratus bagi kaum India.

"Pecahan akauntan Bumiputera pada 2005 ialah 20.8 peratus, Cina (73.6%) dan India (4.4%). Dalam sektor swasta, pada 2005, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bumiputera adalah 20 peratus berbanding 70.4 peratus bagi kaum Cina," tambahnya.

Menurut Mohd Azmi lagi, dalam analisis pemilikan modal saham pula, kenyataanya ialah Bumiputera memilik 18.9 peratus, kaum Cina 39 peratus dan kaum India 1.2 peratus.

Demikian juga, katanya, dalam soal keupayaan menanggung kos pendidikan di mana ternyata masih ramai kaum Melayu tidak mampu untuk mendaftar diri dalam Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), malah ada yang tidak tidak mampu membayar wang pendaftaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)) lantaran kedudukan ekonomi orang Melayu yang masih tidak mencapai tahap yang diharapkan.

"Dalam institusi pendidikan swasta daripada jumlah bilangan pelajar sahaja, angka yang nyata sangat ketara ialah pelajar bukan bumiputera jauh lebih ramai dari pelajar bumiputera. Ini belum lagi diambil kira berapa pelajar bukan Melayu yang mampu dihantar ke luar negara oleh ibubapa mereka sendiri .

"Lihat pula taraf pendapatan kaum petani dan nelayan, peneroka dan pekebun kecil yang sebahgian besarnya adalah orang Melayu. Insiden kemiskinan orang Melayu malah sangat besar berlaku di kalangan sektor ini.

"Tidak terkecuali juga perbandingan harus dibuat di kalangan pekerja dalam sektor pembuatan diperingkat bawah yang juga umumnya adalah orang Melayu. Apakah taraf pendapatan mereka berbanding bangsa lain?.

"Kita tidak boleh lupa bahawa golongan dalam sektor awam di peringkat kakitangan sokongan sama ada dalam sektor perkhidmatan awam, anggota polis mahupun tentera yang majoritinya kaum Melayu, namun semuanya juga hidup dalam keadaan sekadar cukup makan.

Kaji punca utama

"Suara kakitangan dalam kategori ini yang inginkan agar pihak kerajaan menimbangkan semakan gaji lantaran kos hidup yang semakin meningkat, membayangkan angka pencapaian yang didakwa Asli tidak terlihat dalam kehidupan nyata orang Melayu," tegas Mohd Azmi.

Perbezaan ini, katanya, amat mengejutkan memandangkan kedudukan campuran etnik negara terdiri daripada bumiputera (65%), kaum Cina (26.1%) dan kaum India (7.3%) dan ia jelas menunjukkan perbezaan etnik yang meluas dalam pendidikan, pekerjaan, pemilikan aset, perumahan dan profesion.

"Apakah wajar dipersoalkan dasar yang perlu membantu etnik yang lemah dengan hanya alasan bahawa kita harus mengejar persaingan terbuka dalam agenda globalisasi yang bukan dikawal oleh kita.

"Persoalannya bukan kita hendak berdebat isu angka sebagai asas sesuatu dasar itu perlu diubah atau tidak, akan tetapi adalah kerana pengagihan kekayaan negara yang tidak seimbang dengan pecahan etnik di negara ini akan mewujudkan keadaan yang tidak sihat baik dari sosial mahupun politik.

"Berselindung di sebalik kajian untuk mengajukan cadangan dasar yang sudah tentu memihak kepada satu kelompok komuniti yang sedia kuat, akan mengundang ketidakadilan yang akan mencetuskan ketidakstabilan," tambahnya.

Menurutnya lagi, gesaan pihak tersebut supaya pendekatan tidak mengutamakan sesuatu etnik dalam dasar awam mungkin ada asasnya .

"Tetapi memandangkan ketidakseimbangan yang besar dalam kuasa ekonomi antara kumpulan etnik yang berbeza, akan membawa kepada ketidakadilan dan melahirkan masyarakat apartheid.

"Kita sebenarnya tidak harus terperangkap dengan perdebatan pencapaian DEB dari segi angka tetapi hendaklah melihat pengagihan ekonomi bukan sahaja antara kaum (inter kaum) tetapi di dalam kaum (intra kaum) itu sendiri.

"Sementara pemilikan ekuiti antara kaum tidak kecil kesannya kepada kestabilan sosial dan politik, namun kedudukan jurang ekuiti di dalam kaum itu sendiri juga besar implikasinya," tambahnya.

Oleh itu, katanya, Teras menyarankan seharusnya dikaji punca utama kewujudan perbezaan etnik yang serius dan mencadangkan dasar yang akan menangani keperluan dan kepentingan semua rakyat Malaysia dan bukannya hanya komuniti yang sudah kuat ekonominya dan yang paling berkuasa memberi pengaruhnya kepada penggubal dasar.