Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Lima individu termasuk seorang usahawan kosmetik bergelar datin didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 14.9 kilogram pada 8 Mei lalu.

Tertuduh Miss Rohanee Doloh, 47; adiknya Miss Silawati, 26; Mohd Nasrul Hafiszan Mat Nasir, 36; Ahmad Maziri Mazlan, 26 serta Wan Mohamad Syariman Maula Wan Mohd Nadzir, 24, didakwa mengedar dadah itu seberat 14.989 kilogram (berat kasar).

Kesalahan itu dilakukan jam empat petang di tepi jalan di Mulong, Kota Bharu, pada 8 Mei lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin, manakala tertuduh diwakili peguam, Tengku Shazuan Tengku Shariffudin dan Nur Alyaa Mohd Zain.

Mahkamah menetapkan 25 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Malaysiakini pada 9 Mei lalu melaporkan satu sindiket pengedaran dadah didalangi seorang wanita bergelar datin yang berselindung di sebalik penjualan kosmetik, ditumpaskan pihak polis susulan rampasan dadah RM2.34 juta.

Ia membabitkan rampasan 180,000 biji pil yaba dan 14.9kg syabu menerusi serbuan membabitkan lima lokasi di tiga daerah iaitu Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS