Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz memberi statistik yang tidak tepat kepada Parlimen untuk menafikan dakwaan bahawa kad pengenalan diberikan kepada pendatang tanpa izin di Sabah, dakwa Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata Nazri ketika menggulung perbahasan Bajet 2007 bagi pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 18 September lalu telah menyediakan jawapan lima perenggan mengenai isu yang dibangkit oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur itu.

Nazri tidak sempat membaca bahagian tersebut pada hari berkenaan, tetapi salinannya telah diedarkan kepada ahli Parlimen. Ucapan itu mendakwa, pada tahun 1970, penduduk Sabah telah memecah tahap satu juta.

Sehubungan itu, Lim mendakwa,Nazri cuba menulis semula sejarah dan mengesahkan 'Projek M' satu skim yang didakwa untuk memberi kerakyatan kepada pendatang haram melalui pemberian kad pengenalan.

"Dakwaan Nazri bahawa Sabah mempunyai jumlah penduduk melebihi satu juta orang pada 1970 adalah tidak munasabah, sesuatu yang diambilnya entah dari mana, tanpa sebarang asas saintifik atau statistik.

"Saya ingin merujuk kepadanya Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK7) 1996-2000 di mana penduduk Sabah (termasuk Labuan) pada 1980 dinyatakan seramai 1.055 juta orang dan mencecah 1.867 juta orang pada 1991, dan mendaftarkan pertumbuhan purata tahunan tertinggi sebanyak 5.2 peratus bagi mana-mana negeri dalam dekad 1981-1991," kata Lim.

Jadi pelarian

Lim berkata, sekiranya Nazri betul, angka baru jumlah penduduk itu perlu disemak semula seperti dalam rancangan lima tahun sebelum, semakan separuh penggal serta penerbitan rasmi yang lain.

Beliau mendakwa, angka yang betul adalah 648,693 pada 1970, tanpa menyatakan sumbernya. Berdasarkan angka dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), ia bermakna Sabah mencatatkan pertambahan penduduk empat kali ganda menjelang tahun 2005, iaitu seramai 3.13 juta.

Beliau menyifatkan kenyataan Nazri itu sebagai menidakkan rungutan rakyat Sabah bahawa mereka telah menjadi 'pelarian di tanahair sendiri'.

Lim juga menggesa pemimpin Barisan Nasional Sabah supaya memperdebatkan angka yang diberikan oleh Nazri itu, sama ada rakyat sabah sedang menghadapi krisis kerana kehadiran lebih ramai pendatang haram berbanding dengan penduduk tempatan.

'Projek M' mendapat perhatian umum selepas ianya didedahkan oleh bekas Senator Dr Chong Eng Leong sewaktu memberi keterangan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai Integriti Jun lalu.

'Projek M'

Beliau mendakwa, pertambahan luar biasa penduduk Sabah adalah disebabkan pemberian dengan sengaja kad pengenalan kepada rakyat asing di bawah projek rahsia 'Projek M' atan 'Projek IC'.

Ekoran itu, terdapat kira-kira 1.75 rakyat asing di Sabah hari ini, termasuk mereka yang memperolehi kad pengenalan melalui 'Projek M' berbanding dengan seramai 1.5 rakyat Sabah sendiri.

Sebahagian besar penduduk di kebanyakan daerah di Sabah dikatakan terdiri daripada rakyat asing dan pendatang haram dan ini dikatakan telah memberi kesan sosio-ekonomi dan dan menjejaskan hak rakyat asal Sabah.

Terdapat juga dakwaan bahawa nama pendatang asing yang diberi kerakyatan melalui 'Projek M' juga terdapat dalam senarai pengundi.

Polis telah memulakan siasatan terhadap perkara tersebut. Berita asal