PKR bantah pengswastaan perkhidmatan ambulans
Parti Keadilan Rakyat (PKR) membantah tindakan Kementerian Kesihatan yang didakwanya mahu mengambil jalan mudah untuk menswastakan sebuah lagi 'sayap' pentingnya dalam sistem kesihatan awam perkhidmatan ambulans.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) membantah tindakan Kementerian Kesihatan yang didakwanya mahu mengambil jalan mudah untuk menswastakan sebuah lagi 'sayap' pentingnya dalam sistem kesihatan awam perkhidmatan ambulans.
Sambil membantah tindakan tersebut, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr A Xavier Jayakumar berkata, berdasarkan pengalaman lalu, rakyat telah cukup dibebankan dengan pembayaran bagi mendapatkan perkhidmatan yang telah diswastakan di bahagian despensari dan stor ubat-ubatan.
"Sebelum ini bahagian kejuruteraan dan bahagian dobi merupakan bahagian-bahagian yang paling awal diswastakan oleh pihak kerajaan di hospital-hospital awam di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pengswastaan perkhidmatan ambulans akan menambahkan lagi beban rakyat jelata kerana lebih 80 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan di hosptal awam terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.
"Mereka tidak mampu membayar caj-caj bayaran yang tinggi untuk mendapatkan perkhidmatan 'ambulans swasta' ini nanti,"tambahnya.
Dr Xavier berkata, masyarakat luar bandar yang tidak mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik di kawasan mereka merupakan golongan paling teruk yang akan menerima impak daripada penswastaan perkhidmatan ambulan ini.
"Kita difahamkan apabila ianya dikuatkuasakan nanti, orangramai akan dikenakan bayaran RM150 hingga RM300 (bergantung kepada berapa jauhnya lokasi tempat/rumah pesakit dengan hospital terdekat) bagi setiap kali menggunakanya.
Kos beli ambulans
"Bayaran ini sahaja sudah begitu membebankan pesakit belum lagi termasuk bayaran katil, ubatan-ubatan, rawatan atau kos-kos pembedahan dan sebagainya," katanya lagi.
Berikutan itu, katanya, PKR menyelar kenyataan Menteri Kesihatan, Dr Chua Soi Lek bahawa pihak kerajaan, dalam masa yang sama, akan membelanjakan peruntukan di bawah RMK9 untuk membeli 800 lagi ambulan baru dalam masa terdekat ini.
"Kita menganggarkan kos bagi sebuah kenderaan ambulans dalam lingkungan RM150,000 hingga RM200,000 dan ini bermakna kerajaan dijangka berbelanja kira-kira RM160 juta untuk mendapatkan 800 ambulans baru itu.
"Kita juga difahamkan bahawa ambulans baru tersebut kemudiannya akan diserahkan kepada syarikat-syarikat swasta tadi yang telah diberikan tender untuk mengendalikan perkhidmatan berkenaan," tambahnya.
Lantaran itu, katanya, PKR mencabar kewajaran kerajaan membelanja RM160 juta wang rakyat untuk membeli ambulans tersebut tetapi menyerahkan secara 'percuma' kepada syarikat-syarikat swasta berkenaan.
"Yang lebih menakjubkan ialah syarikat swasta tersebut bukan sahaja mendapat aset-aset tersebut secara percuma, sebalik mengenakan bayaran yang mahal kepada rakyat yang menggunakan perkhidmatannya," tegasnya.
Berikutan itu, PKR membantah keras tindakan kerajaan dalam proses penswastaan ambulans itu dan mendesak kerajaan memberhentikan serta-merta perancangan penswastaan itu.
Perlu perancangan
Sebaliknya, kata beliau, adalah lebih wajar pihak kerajaan memberikan tumpuan dalam menambahbaik sistem kesihatan sedia ada dengan perancangan yang lebih teliti dan komprehensif.
"Kita juga berharap kerajaan terlebih dahulu berbincang secara terbuka dengan pelbagai pihak yang prihatin serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan bagi mendapat maklumbalas sebelum sesuatu dasar di dalam sistem kesihatan awam itu hendak dilaksanakan.
"Kita juga mencadangkan agar pihak kerajaan menambahkan perbelanjaannya secara berhemah dalam penyediaan kakitangan yang mencukupi dan terlatih dalam pengendalian ambulans tersebut," tegasnya.
Di samping itu, katanya, kerajaan juga perlu menyediakan perbelanjaan yang mencukupi untuk kerja-kerja servis dan penyelengaraan lebih 1,000 ambulans sedia ada di seluruh negara bagi menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan tanpa perlu membebankan 'wang poket' rakyat jelata.
"Kita berpendapat sekiranya 'trend' penswastaan kenderaan pengangkutan kerajaan ini tidak dibendung, ianya bakal menjadi contoh ikutan kementerian /jabatan lain atas alasan konnonnya untuk menjimatkan kos penyelengaraan kenderaan kerajaan.
"Satu hari nanti kita akan dapati 'radio-car' polis dan trak-trak bomba dikendalikan oleh pihak swasta dan kita diminta membuat bayaran setiap kali memanggil mereka semasa berlakunya sebarang kecemasan," tambahnya.

