Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
KATA MP | Kini rakyat ditinggalkan dengan 'lockdown' kendiri'

KATA MP | Siapa yang menang dan siapa yang kalah susulan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada hari Jumaat lepas dengan keputusan untuk tidak melaksanakan sekatan pergerakan penuh dalam perang melawan wabak Covid-19?

Rakyat dan negara kita yang kalah, tetapi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menganggap mereka telah menang. Perkara ini sangat meragukan walaupun beberapa kajian populariti mengatakan Muhyiddin Yassin jauh mendahului pemimpin lain.

Saya bertanya kepada rakan yang merupakan seorang doktor mengenai pandangannya terhadap keputusan MKN seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri, semalam.

Jawapannya:

Dari pandangan perubatan, langsung tak masuk akal."

Dari segi kelangsungan hidup politik, baik untuk mereka."

Untuk rakyat, habislah mereka.

Nampak gayanya, jenaka “MCO – Making Confusing Orders; CMCO – Continue Making Confusing Orders; EMCO – Even More Confusing Orders; RMCO – Repeatedly Making Confusing Orders” di media sosial tidak akan berakhir dalam masa terdekat.

Apabila Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam meminta rakyat untuk melakukan “lockdown kendiri” selama dua minggu untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, seolah-olah dia sendiri sudah tiada pilihan lagi kerana barangkali dia tidak mampu mendapatkan MKN untuk menerima cadangannya.

Hanya mereka yang sangat optimis sahaja yang akan percaya bahawa langkah-langkah yang diambil oleh MKN boleh memutuskan rantaian jangkitan dalam masa dua minggu.

Kini, rakyat hanya ditinggalkan dengan “lockdown kendiri” -- mengelakkan 3C (kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak dekat) dan mengamalkan 3W (wash, wear dan warn). Sekiranya perkara ini memadai, kita tidak perlu pun melalui PKP, PKPB, PKPD, dan PKPP.

Tetapi dengan hari keempat berturut-turut negara kita mencatatkan jumlah kes baru melepasi paras 6,000 kes, dengan jumlah kes terkumpul kini lebih daripada setengah juta dan kadar kematian menghampiri 2,199 kematian, 32 juta rakyat Malaysia perlu menunjukkan kepada dunia yang kita berdisiplin dan mampu untuk melaksanakan “lockdown kendiri”.

Pada masa sama, kita tidak boleh berhenti menuntut kerajaan untuk membawa dasar-dasar yang lebih baik untuk mengawal wabak Covid-19 ini.

Oleh itu, saya menyeru Muhyiddin untuk mengetepikan pertimbangan lain dan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk manggil sidang Parlimen dan DUN untuk membentuk barisan melawan Covid-19 yang kuat dengan lima matlamat:

  • Mobilisasi kebangsaan
  • Mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat
  • Pakej rangsangan ekonomi untuk membantu golongan memerlukan
  • Ujian saringan saringan besar-besaran
  • Mempercepatkan program vaksinasi

Walaupun Parlimen dan DUN telah digantung sidangnya, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah menitahkan ahli-ahli Parlimen dan DUN di negeri itu untuk bermesyuarat membincangkan masalah Covid-19 ini yang kini semakin teruk.

Sekiranya jangkaan baru disemak Kementerian Kesihatan terbukti tepat, kita akan melihat peningkatan harian di sekitar 8,000 kes sehari pada Jun. Adakah kita akan melihat 10,000 kes sehari menjadi norma baru di Malaysia?

Semalam adalah hari kesepuluh berturut-turut di mana kadar peningkatan harian kes Covid-19 di Malaysia melebihi kadar di Indonesia dan perkara ini seakan-akan mengiyakan kenyataan pihak berkuasa di Indonesia untuk rakyat mereka tidak mengikuti jejak langkah Malaysia atau India dalam menguruskan wabak ini.

Malah, India sendiri melihat kadar peningkatan harian mereka menurun kepada 243,777 kes semalam, penurunan mendadak sebanyak 42 peratus berbanding dengan kemuncak 414,433 kes pada 6 Mei, iaitu 15 hari yang lepas.

Saya mencadangkan supaya semua negeri mengikut langkah nasihat Sultan Johor dan mengadakan mesyuarat dalam kalangan ahli Parlimen dan Adun untuk menyemak perkembangan terkini berkenaan Covid-19.

Menjadi satu idea yang baik untuk kita bentuk barisan bersatu di Parlimen dan DUN untuk mencapai kelima-lima objektif saya sebutkan di atas.

Ia perlu didorong oleh konsensus sama ada secara formal atau sebaliknya tanpa sebarang “undi tidak percaya” untuk membolehkan penggal Parlimen dan DUN sedia ada dipenuhkan sehingga Mei 2023, melainkan jika keadaan Covid-19 bertambah baik dengan lebih awal. 


LIM KIT SIANG ialah anggota parlimen DAP Iskandar Puteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS