Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membayangkan beliau tidak berpuas hati dengan permohonan maaf oleh Lee Kuan Yew semalam apabila beliau sekadar mengatakan " saya sudah mengambil maklum surat Menteri Mentor Singapura itu."

"Saya menerima surat beliau dan saya memahami isi kandungan surat itu, dan saya sudah mengambil maklum mengenainya. Tapi saya rasa... biarlah saya katakan begini, bahawa kenyataan Lee Kuan Yew yang dibuatnya di Singapura itu tidak wajar dan tidak dihargai.

"Saya sudah tentu tidak bersetuju, saya tentu sahaja menolak alasan kenapa beliau membuat kenyataan itu," kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan satu mesyuarat dengan ulama mengenai isu-isu semasa, di Putrajaya hari ini.

Abdullah menegaskan bahawa kenyataan Lee pada 15 September itu tidak sepatutnya diutarakan, dan beliau berharap kenyataan seumpama itu tidak diulang lagi.

Apabila didesak oleh wartawan untuk menyatakan sama ada beliau menerima permohonan maaf itu, Perdana Menteri menjawab: "Saya telah mengambil maklum apa yang beliau telah katakan dalam surat itu, semua yang telah dinyatakannya."

Abdullah percaya kenyataan Lee mengenai cara Malaysia melayan masyarakat Cina itu tidak menyumbang kepada hubungan kejiranan yang baik.

"Adalah penting untuk mengingati perkara itu," katanya mengulas surat yang dihantar ke pejabatnya itu semalam.

Ia adalah balasan kepada surat yang dihantarnya oleh Abdullah kepada Kuan Yew pada 25 September bagi meminta penjelasan mengenai kenyataan kontroversi oleh bekas Perdana Menteri Singapura yang mempersoal cara kerajaan melayan masyarakat Cina negara ini.

Kenyataan menghasut

Lee, 83, memberitahu satu forum mengenai tadbir urus yang baik di Singapura bulan lepas bahawa "Jiran saya kedua-duanya mempunyai masalah dengan masyarakat Cina mereka. Mereka berjaya, mereka bekerja keras dan, kerana itu, mereka dipinggirkan secara sistematik, malah dalam bidang pendidikan.

"Dan mereka mahu Singapura, dengan kata mudah, menjadi seperti orang Cina mereka-hanya menurut sahaja."

Komen itu mendapat bantahan di Malaysia dan Indonesia. Kementerian luar kedua-dua negara telah memanggil duta-duta Singapura untuk memberi penjelasan mengenai kenyataan Lee itu.

Dalam surat balasan tersebut, Kuan Yew berkata beliau tidak berniat untuk masuk campur dalam politik Malaysia dan beliau tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi atau menghasut orang Cina di Malaysia.

Beliau juga memohon maaf kerana telah menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri.

Tapi Abdullah mempunyai pandangan yang berbeza mengenai perkara itu.

"Walau apa juga alasan yang beliau berikan, kenyataan seumpama itu boleh menghasut rakyat Malaysia.

"Jadi saya fikir adalah penting beliau memastikan beliau tidak membuat kenyataan seumpama itu lagi," katanya.

Diminta mengulas lanjut, Abdullah berkata: "Ia boleh menghasut rakyat, dan reaksinya mungkin tidak elok."

Beliau enggan menjawab pertanyaan lanjut mengenai surat Lee itu, dengan mengatakan, "Saya tidak mahu ada perbahasan mengenainya."