Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Prasarana minta 83 mangsa kemalangan LRT tampil
Diterbitkan:  May 29, 2021 1:35 PM
Dikemaskini: 5:35 AM

Prasarana Malaysia Berhad memaklumkan pihaknya masih berusaha mengenal pasti 83 daripada 213 mangsa yang terbabit kemalangan dua buah tren Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Isnin lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Norlia Noah berkata, maklumat ini penting untuk menyelaraskan bantuan seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Sehingga 8 pagi hari ini, seramai 130 daripada 213 penumpang telah berjaya dikenalpasti.

"Terdapat juga 12 warga asing dari Indonesia, Filipina, Iran, Bangladesh dan Timur Tengah dan pihak kedutaan negara-negara berkenaan telah dihubungi.

“Prasarana berharap semua penumpang yang terlibat yang belum menghubungi kami untuk tampil segera," katanya dalam kenyataan.

Mereka yang terlibat diminta menghubungi Prasarana di talian 014-7371330 atau e-mel kepada [email protected].

Norlia berkata Prasarana akan memberikan sumbangan ihsan atau ‘goodwill payment’ kepada para penumpang yang terlibat dalam insiden berkenaan.

"Jumlah bayaran dan hak penerimaan akan ditentukan sebaik butiran tentang penumpang dapat dilengkapi," tambahnya.

Dalam kejadian jam 8.45 malam Isnin lepas, sebuah tren membawa 213 penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Menurut Norlia, daripada 67 orang yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur, 61 penumpang telah dibenarkan keluar selepas mendapatkan rawatan.

Lima lagi penumpang masih berada di hospital di mana tiga individu ditempatkan di wad biasa dan dijangka dibenarkan keluar dalam tempoh 2 hingga ke 7 hari.

“Saya juga memohon maaf atas sebarang kekhilafan dan kepincangan kami dalam menangani insiden ini.

"Kami akan terus berkongsi maklumat terkini tentang perkembangan mereka yang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur, status pengesanan para penumpang serta proses pemulihan sepenuhnya perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, yang amat penting untuk urusan harian warga kota,” katanya.

Laluan LRT Kelana Jaya beroperasi semula pada jam 3.45 petang semalam.

Lihat Komen
ADS