Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis sahkan Khairuddin diperiksa di SJR, siasatan sedang dilakukan

Polis mengesahkan laporan bahawa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali ada diperiksa di sekatan jalan raya (SJR) Perasing pada 16 Mei lalu.

Ketua Polis Terengganu Roslee Chik ketika mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini berkata polis kini masih menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, Roslee tidak mengulas dakwaan tular mengenai ahli parlimen Kuala Nerus itu diperiksa ketika menaiki kenderaan bersama seorang wanita.

Katanya, persoalan lain mengenai siasatan itu perlu dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman memandangkan unit itu sudah mengambil alih siasatan.

“Masih dalam siasatan. Tanya (USJT) Bukit Aman sebab Bukit Aman ambil alih (siasatan),” katanya.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Dev Kumar, ketika dihubungi pula, mengesahkan bahawa siasatan sedang dilakukan.

Namun, katanya, polis membuka kertas inkuiri terlebih dahulu bagi memastikan apakah ada kesalahan yang dilakukan dalam kejadian berkenaan.

“Kita buka kertas inkuiri polis dahulu. Kita akan panggil semua yang berkaitan dengan isu ini untuk pertanyaan.

“Untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di SJR dan jika ada berlaku apa-apa kesalahan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pemeriksaan Khairuddin di SJR Perasing mula diperkatakan apabila satu mesej tular beberapa hari lalu mendakwa dia ditahan bersama usahawan tudung yang juga bekas isteri seorang pelakon terkenal. 

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Khairuddin bagi mendapatkan maklum balas.

Lihat Komen
ADS