Malaysia tidak akan menuntut Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew supaya menarik kenyataan kontroversinya bahawa masyarakat Cina di Malaysia telah dipinggirkan secara sistematik.

"Tidak, saya fikir kita telah lakukan apa yang kita boleh lakukan. Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan beliau yang merupakan pendirian kerajaan," kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika ditanya mengenai kemungkinan itu.

Menurutnya, Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan beliau yang merupakan pendirian kerajaan.

Abdullah telah berkata, beliau mengambil perhatian akan kandungan surat Lee kepada beliau sebagai membalas suratnya sebelumnya, berhubung kenyataan Lee yang diutuskan kepada kenyataan beliau (Lee) pada 15 September di Singapura bahawa kaum Cina di Malaysia telah dipinggirkan secara sistematik.

"Dan sebagai pemimpin negara, beliau telah menyatakannya dengan jelas. Kita fikir kita mahu bergerak ke depan daripada segi Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang hidup secara harmoni, aman dan sejahtera. Kita mengekalkan keadaan itu," kata Syed Hamid.

Menurut laporan Bernama, sebelum itu, Syed Hamid berkata, permohonan "maaf" Lee dalam suratnya kepada Perdana Menteri adalah bagi "ketidakselesaan" akibat komen beliau mengenai bagaimana Malaysia melayan masyarakat Cinanya dan bukan bagi kenyataan yang beliau buat.

Bukan minta maaf

"Ia bukan permohonan maaf. Beliau hanya berkata yang beliau minta maaf kerana menyebabkan ketidakselesaan, bukannya beliau minta maaf bagi mengeluarkan (kenyataan kontroversi berkenaan).

"Ia dua perkara yang berbeza," kata Syed Hamid kepada pemberita dalam majlis berbuka puasa di kementeriannya semalam.

Lee, 83, memberitahu forum urustadbir di Singapura bahawa "jiran-jiran saya mempunyai masalah dengan kaum Cina mereka. Mereka berjaya, mereka bekerja keras dan dengan itu mereka dipinggirkan secara sistematik, malahan dalam pendidikan.

"Dan mereka mahu Singapura, dengan kata mudah, menjadi seperti orang Cina mereka - patuh."

Komen itu mendapat bantahan keras di Malaysia dan Indonesia. Kementerian Luar kedua-dua negara turut memanggil duta Singapura untuk memberikan penjelasan mengenai kenyataan Lee itu.

Dalam surat balasnya, Lee berkata beliau tiada niat untuk mencampuri politik Malaysia dan beliau tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi atau mengapi-apikan perasaan orang Cina di Malaysia.

--